Ahad, 3 Julai 2016

SAMM: Apa perlunya Muhyiddin dilantik ketua pembangkang?

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak pandangan Amanah yang menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi ketua pembangkang baru bagi Pakatan Harapan (PH).
 
Penyelaras Muda SAMM Faisal Zainal berkata, perkara berkenaan tidak boleh dipertimbangkan kerana Muhyiddin semasa pernah berkhidmat di dalam kerajaan, telah bertindak menyokong beberapa dasar yang menindas rakyat.
 
"Antaranya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Akta SOSMA, Pindaan Akta Hasutan, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Belanjawan Negara yang menindas rakyat. 
 
"Soalnya, Adakah Muhyiddin semasa beliau berkuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri gagal memahami derita rakyat. Dan setelah hilang kuasa baru nak fahami derita rakyat?," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
 
Faisal menambah, tiada keperluan untuk Muhyiddin diangkat sebagai ketua pembangkang baru dan beliau tidak perlu dibawa masuk dalam 'rumah' perjuangan PH.
 
"Pasukan Mahathir dan Muhyiddin hanya mahu menggunakan Pembangkang dalam misi menggulingkan Najib sebagai Perdana Menteri. 
 
"Selesai misi Najib digulingkan, Pasukan Mahathir dan Muhyiddin akan meyertai Umno semula, kembali berkuasa dan kembali memijak pembangkang. 
 
"Semoga pimpinan Pakatan Harapan sedar mengenai perkara ini sebelum terlambat dan tidak dipatuk dari lubang yang sama," ujarnya lagi. 
 
Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Mazlan Aliman berkata, parti itu mahu Muhyiddin dipertimbangkan untuk dipilih sebagai ketua pembangkang baharu PH.
 
Mazlan juga dikatakan mengakui wujud perbincangan dalam parti untuk mencadangkan pelantikan bekas Timbalan Presiden Umno itu ke seluruh pimpinan Pakatan Harapan.
 
Bagaimanapun tidak lama kemudian, Mazlan tampil menafikan perkara berkenaan dan mendakwa laporan tersebut jauh tersasar serta berniat jahat. 
 
 

Tiada ulasan: