Khamis, 10 September 2015

[KEMASKINI] PAS Selangor belum ada ketetapan sertai Pakatan Rakyat 2.0

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
 
KAJANG: PAS Selangor masih lagi belum membuat ketetapan untuk menyertai Pakatan Rakyat 2.0 walaupun dipelawa bagi memperkukuhkan gabungan baru pakatan pembangkang.
 
Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Samad berkata, setakat ini PAS negeri hanya mengambil maklum arahan daripada pihak berautoriti sahaja.
 
"Sekarang ini ada banyak spekulasi, kita pun sudah dengar banyak kenyataan daripada Datuk Menteri Besar, Presiden PKR pun sudah buat pengumuman, Ketua Umum PKR pun sudah buat pengumuman-pengumuman.
 
"Tetapi saya hanya ambil pengumuman yang ada autoriti contohnya Datuk Menteri Besar selaku ketua pentadbiran Selangor," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Majlis Pelancaran Program Jejak Wira, di sini.
 
Beliau mengulas mengenai sama ada PAS sudah bersedia untuk bergabung dengan Pakatan Rakyat 2.0 tambahan pakatan baru itu akan mula beraksi pada sesi Parlimen yang akan diadakan pada bulan Oktober ini.
 
PKR sebelum ini menegaskan akan mengadakan perbincangan dengan PAS untuk membawa masuk parti itu dalam pakatan pembangkang bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP meskipun cadangan itu ditolak oleh DAP.
 
Walaubagaimanapun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi membayangkan parti itu tidak menolak kemungkinan akan bergerak sendiri berdasarkan senario dalaman semasa.
 
Dalam pada itu, Iskandar menegaskan hubungan PAS Selangor dengan rakan komponennya DAP dan PKR di Selangor masih berjalan seperti biasa.
 
Beliau bagaimanapun menegaskan hubungan kerjasama itu hanya berdasarkan atas urusan kerajaan negeri sahaja.
 
"Kita tetap bersama dengan Pakatan Rakyat dan kerjasama masih berjalan di negeri Selangor di antara PKR dengan PAS dan juga DAP. Tadi pun kita ada mesyuarat Exco, dan ia berjalan seperti biasa.
 
"Ingin saya tegaskan di sini, dari segi kerajaan, PAS atau pun PAS Pusat telah pun megarahkan kepada PAS Selangor bahawa hubungan di antara kerajaan diteruskan, bermakna kita dengan DAP dalam kerajaan contohnya dalam Exco, dalam ADUN, ahli Majlis atau pun semua peringkat termasuk ketua kampung, melibatkan kerajaan, semuanya berjalan seperti biasa. Cuma dalam kerjasama politik sahaja yang putus," katanya.
 
 

Tiada ulasan: