Rabu, 1 Januari 2014

Tol: Abim gesa kerajaan dengar, fahami suara rakyat

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berpandangan, pihak kerajaan masih mempunyai beberapa alternatif bagi memastikan kos-kos terutama kos penyelenggaraan lebuh raya dapat ditampung.

Presidennya, Amidi Abd Manan menyatakan demikian merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang menyatakan kerajaan tiada pilihan melainkan terpaksa menaikkan kadar tol di beberapa tempat mulai tahun 2014.

Sebagai contoh, katanya kos pembiyaan tarif eletrik dan perkhidmatan air di  lebuh raya masih boleh dikurangkan menerusi inisiatif rundingan antara pihak kerajaan dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat bekalan air.

Justeru, kata beliau pihak kerajaan harus meniliti langkah-langkah yang wajar bagi memastikan kos dapat dikurangkan dan bukan semata-mata menyalurkan bebanan kos kepada rakyat untuk ditanggung.

Ini, ujarnya kerana tindakan menaikkan kadar tol akan terus membebankan kehidupan rakyat biasa yang telah sedia terbeban kebelakangan ini kerana ia akan mencetuskan kesan berantai kepada kehidupan rakyat.

Seperti contoh, tambah beliau kenaikan kadar tol secara langsung akan mengakibatkan peningkatan pada kos pengangkutan.

“Peningkatan ini akan meliputi kos pengangkutan serta penghantaran barang serta perbelanjaan pengangkutan awam seperti tambang bas dan teksi,” katanya lagi.

Sementara itu, kata beliau kesan kenaikan tol akan lebih dirasai apabila tiba musim perayaan atau cuti umum, apabila mereka terpaksa menanggung beban kos harga minyak serta bayaran tol yang tinggi.

Hal ini, tambahnya termasuk kos tambang bagi pengangkutan awam yang akan turut dinaikkan.

Menurutnya, merujuk kepada pengangkutan awam alternatif seperti kereta api, yang tidak menggunakan laluan tol, Abim menggesa pihak kerajaan mencari inisiatif terbaik bagi memastikan kadar tambang bagi perkhidmatan pengangkutan tersebut berpatutan serta tahap effisiensi dapat ditingkatkan.

“Sekiranya mutu perkhidmatan pengangkutan awam tersebut berada di tahap yang terbaik, ia secara langsung akan membantu mengurangkan kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Beliau menambah, dalam perkembangan berkaitan, Abim juga melihat saranan kerajaan agar pengguna lebuh raya menggunakan jalan biasa sekiranya tidak mahu membayar tol harus didasari dengan jaminan dari pihak kerajaan sendiri untuk memastikan sistem jalan raya terutama di kawasan bandar benar-benar efisien.

“Sekiranya sistem jalan raya kita benar-benar efisien, ia akan menjadi satu nadi penting untuk memberdaya kualiti dalam menggerakkan ekonomi negara,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: