Rabu, 15 Januari 2014

Skandal PKFZ: Bebaskan Kong Choy, Peguam Negara patut dipecat

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail digesa meletakkan jawatan ekoran keputusan menarik kembali tuduhan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy berhubung skandal Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu serius menangani isu melibatkan penyelewengan wang, salah guna kuasa seperti yang selalu dilaungkan dalam pentadbiranya.

Justeru kata Tony, maka kini merupakan masa terbaik bagi Najib Razak untuk menghukum Gani atas ketidakcekapan peguam negara itu melaksanakan tugas penting.

“Kita ingin tahu adakah dakwaan rapuh sengaja dikenakan ke atas mereka bagi membuktikan yang Najib begitu serius dalam banteras rasuah.

“Sekiranya Najib begitu serius dalam hal ini maka beliau tidak perlu teragak-agak memecat peguam negara dan menggantikan dengan mereka yang cekap dan akan bertindak serta menghukum tanpa dibayangi atau takut dengan sesiapa pun,” katanya dilapor media Selangorku.com

Tony berkata pembebasan bekas menteri itu mewujudkan tanda tanya pihak yang bertanggungjawab dalam skandal melibatkan penyelewengan wang rakyat paling mahal setakat ini.

Katanya, tambah membingungkan walaupun kes tersebut disiasat sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2009 dan menyarankan mahkamah menahan Chan, ia gagal dilaksanakan oleh peguam negara tersebut.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kesal dan sedih kerana pembebasan Chan daripada tuduhan skandal RM12.85 bilion PKFZ membuktikan tidak ada pemimpin dipertanggungjawab atau dihukum kerana mengakibatkan kerugian besar kepada dana awam.

Katanya, sebelum Chan, Tun Dr Ling Liong Sik juga dibebaskan daripada pertuduhan menipu Kabinet dalam skandal berkenaan, pada 25 Oktober tahun lalu.

Chan dituduh pada 28 Februari 2011 atas dakwaan menipu Abdullah mengenai projek pemindahan kapal sebanyak RM1.9 bilion di antara 2004 dan 2006. Beliau boleh dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun jika didapati bersalah.

Projek tersebut berharga RM1.1 bilion selepas diilhamkan oleh Dr Ling pada 1997, namun berlipat ganda kepada RM4.6 bilion pada 2007.

Tiada ulasan: