KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei di atas kejayaannya merangkul kejuaraan yang kesepuluh dalam Kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia edisi 2014.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Datuk Lee Chong Wei telah menewaskan pemain nombor empat dunia, Tommy Sugiarto dari Indonesia dengan kemenangan 'straight set'.
Kemenangan kali kesepuluh Datuk Lee Chong Wei ini seharusnya menjadi pemangkin kepada pemain-pemain muda di luar sana untuk sama-sama menjejaki apa yang telah dikecapi oleh beliau.
“Kehebatan beliau bukan sahaja sekadar jaguh kampung tetapi merupakan seorang pemain dunia nombor satu,” ujar Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khirudin.
Beliau berkata, Ching Wei boleh dianggap sebagai lagenda dan ikon sukan tanah air sebaris dengan tokoh-tokoh atlet lain seperti Datuk Nicol David, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.
Namun, ujarnya kehebatan manusia sememangnya mempunyai batasannya kerana sampai satu ketika, seseorang itu harus berundur dan memberikan muka-muka baru untuk meneruskan perjuangan.
Begitu juga halnya dengan Datuk Lee Chong Wei, katanya.
Katanya, hasrat untuk persaraannya telah diumum oleh Chong Wei sendiri selepas memenangi kejuaraan kelmarin seharusnya dipandang berat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurutnya, Malaysia mempunyai ramai pelapis baru namun tidak ramai diketengahkan di peringkat dunia, menyebabkan negara ketandusan pemain yang bertaraf dunia.
Beliau berkata, Malaysia seharusnya risau dengan negara-negara yang telah mempunyai pelapis bertaraf dunia yang kian menyengat seperti China, Indonesia, Jepun dan Thailand.
Katanya lagi, ketandusan pemain bukan sahaja pada pemain perseorangan lelaki, malah ianya melibatkan pemain perseorangan wanita dan beregu.
“Lihat sahaja pemain seperti Chen Long dari China, Ratchanok Intanon dari Thailand, mereka adalah dari kumpulan pelapis muda yang kian naik mendapat nama di pentas dunia,” ujarnya.
Bahkan, kata beliau mereka juga mampu mengalahkan beberapa nama senior di peringkat antarabangsa.
“Situasi inilah yang nampaknya tidak berlaku di Malaysia. Kita hanya gah dengan satu nama sahaja, dan satu nama ini sahajalah yang dijulang di segenap dunia,” katanya lagi.
Khairil Nizam menambah, kehebatan Datuk Lee Chong Wei boleh disifatkan ‘one man show’ kerana sejak menjadi pemain nombor 1 dunia, Malaysia tidak pernah merangkul kejuaraan Piala Thomas sejak tahun 1992 walhal beliau sudah beberapa kali merangku kejuaraan All England.
Oleh sebab itu, ujar beliau pucuk pimpinan BAM yang kini diterajui oleh Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff harus segera memikirkan sesuatu formula ajaib untuk merangkul kembali piala yang berprestij tersebut setelah ketiadaan Lee Chong Wei.
Dalam masa yang sama, beliau menyarankan program pembangunan sukan belia seperti yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin seharusnya tidak dipandang sepi demi kebaikan dan mutu sukan badminton negara.
“Apakah Malaysia akan berputih mata sekali lagi untuk Kejohanan Piala Thomas 2014 di New Delhi, India? BAM mungkin ada jawapannya,” kata beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan