Khamis, 16 Januari 2014

Senyap dalam isu besar, Kabinet tidak sokong punca Najib dilihat lemah, kata penganalisis

OLEH LEE SHI-IAN DAN EILEEN NG




























Sikap memekakkan telinga Datuk Seri Najib Razak mengenai isu-isu utama ditambah pula dengan Kabinet yang tidak memberikan sokongan padu dilihat antara sebab utama mengapa Perdana Menteri dilihat sebagai lemah dan tidak berkuasa, kata penganalisis politik.

Ini diburukkan lagi oleh tiadanya  pendirian tegas dalam  menangani isu-isu yang sedang panas termasuk agama dan kaum serta pengurusan ekonomi yang sedang menyelubungi negara ini, kata penganalisis politik.

Mereka juga menegaskan, tidak ingat bilakah lagi seorang perdana menteri pernah menghadapi cemuhan daripada orang ramai sedemikian rupa selain yang dihadapi Najib sekarang.

Ini jelas digambarkan apabila Najib bercakap sesuatu perkara, menterinya sendiri kemudian akan menyangkalnya, kata Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan (gambar).

Paling teruk, apabila Najib terus berdiam diri dan bukan menangani dengan kenyataan tegas, katanya.

Beliau mengambil kes Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai contoh, Wan Saiful berkata Najib yang berjanji untuk memansuhkannya di samping undang-undang pencegahan zalim yang lain semasa beliau mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada tahun 2009.

"ISA telah dimansuhkan pada tahun 2012 tetapi kini terdapat pihak-pihak tertentu yang menyeru untuk ia diperkenalkan semula termasuk ketua polis negara.

"Daripada berdiri secara kolektif sebagai satu suara, Kabinet Najib seolah-olah berpecah kepada empat. Setiap orang mempunyai pendapat mereka tersendiri.

"Oleh itu, orang ramai mempunyai persepsi Najib lemah kerana katanya Najib tidak dilihat mempunyai kata putus," Wan Saiful memberitahu The Malaysian Insider.

Dalam menghadapi cabaran sebegini, Wan Saiful berkata Najib perlu tegas dan mengambil tindakan terhadap ahli-ahli Kabinet yang berbeza pendapat dengannya atau kerajaan.

"Pada dasarnya seluruh Kabinet perlu berenang atau tenggelam bersama-sama, ia tidak seharusnya menjadi kes setiap orang orang ada hak masing-masing.

"Kedua-dua Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti bertanggungjawab terhadap kelemahan mereka dan membetulkannya segera."

Profesor James Chin, seorang penganalisis politik dengan Universiti Monash Malaysiaa percaya bahawa apa yang berlaku kepada Najib sekarang adalah sebahagian daripada kempen dalam partinya untuk menyingkirkan beliau.

Ini jelas digambarkan dalam blog-blog pro-Umno yang meminta beliau meletakkan jawatan dan cadangan agar perdana menteri yang paling lama Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Putrajaya dan memainkan peranan untuk mengekang isu-isu yang sedang membara sekarang.

"Mereka tahu Najib tidak dapat memastikan kemenangan Umno dalam pilihan raya umum akan datang berdasarkan rasa tidak puas hati terhadap gaya hidup dia dan cara isterinya berbelanja mewah, serta pertikaian agama dalam penggunaan perkataan Allah," katanya.

Sikap Najib yang lebih suka berdiam diri dalam isu panas dan bukannya berbincang dengan mereka secara intelektual telah memakan dirinya, kata penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak Dr Arnold Puyok.

"Menjadi senyap dan tidak mempertahankan diri bukan cara yang betul untuk Najib. Rakyat Malaysia mahu penjelasan berwibawa dan bukan alasan yang lemah."

Merujuk kepada analogi kangkung Najib yang telah diejek dan menjadi viral dalam laman sosial Arnold berkata, perdana menteri mungkin tidak mahu menyinggung perasaan orang ramai, tetapi  pilihan perkataan beliau telah menjadikan beliau bahan ejekan.

Usaha Najib menjawab isu kenaikan harga barangan dengan menggunakan penurunan harga kangkung sebagai contoh telah menjadi bahan ketawa, sindiran dan menjadi ikutan pada media sosial.

"Najib sepatutnya membuat penjelasan bahawa dalam keadaan sekarang, Putrajaya tidak mempunyai pilihan lain tetapi terpaksa menaikkan harga barang-barang tertentu.

"Lebih penting lagi, kenaikan harga yang sepatutnya setimpal dengan pembaharuan dalam sistem ekonomi Putrajaya dan kredibiliti pentadbirannya," kata Arnold.

Wan Saiful berkata kenyataan sebenar Najib tentang kangkung agak wajar bagaimanapun Putrajaya tidak mendapat kredit yang cukup daripada orang ramai.

"Apabila kerajaan campur tangan untuk mengekalkan harga rendah, ia diambil mudah oleh rakyat tetapi apabila subsidi dipotong atau dihentikan, ia mencetuskan kemarahan rakyat," kata Wan Saiful.

"Agak malang bahawa Najib memutuskan untuk menggunakan kangkung sebagai contoh ketika rakyat sudah bergelut untuk terus hidup."

Portal serantau Asia, Asia Sentinel berkata Najib kini berada di bawah kepungan dan disifatkan sebagai perdana menteri Malaysia paling lemah yang terpaksa bertahan.

Portal yang berpangkalan di Hong Kong itu memetik seorang ahli perniagaan Melayu sebagai berkata Najib diserang oleh rakyat Malaysia kerana kekecewaan mereka terhadap gaya hidup dan perbelanjaan mewah beliau.

"Najib adalah perdana menteri Malaysia yang paling lemah," ahli perniagaan itu memberitahu Asia Sentinel, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Asia Sentinel melaporkan bahawa Najib tidak popular apabila beliau memotong subsidi gula, menaikkan tarif elektrik dan lain-lain barangan dan perkhidmatan menyebabkan orang ramai marah.

Tiada ulasan: