Oleh Aspan Alias |
Setakat apa yang sedang berlaku dan kita alami hari ini, sudah sepatutnya PM Najib tidak lagi berfikir panjang untuk meletakkan jawatan beliau dan menyerahkan politik kepada kepimpinan baru. Dalam kepimpinan sekarang tidak ada yang sanggup bertanggungjawab untuk bersama-sama menegur kesilapan dan kesalahan Najib. Muhyiddin mendiamkan diri, semua Naib Presiden langsung tidak nampak apa yang mereka perlu lakukan kerana mereka merasakan yang menegur dan berusaha untuk menganjak dan mengalih kepimpinan Najib kerana takut kehilangan apa yang mereka nikmati.
Pendeknya tidak seorang pun dalam kabinet dan Majlis Tertinggi parti berani memberikan nasihat dan menegur pucuk pimpinan sedangkan itu adalah tanggungjawab mereka untuk melakukannya. Akhirnya seluruh barisan pimpinan tertinggi UMNO dan BN hanya membisu tetapi tidak pula menahan diri mereka dari mengumpat pucuk pimpinan mereka di belakang PM yang paling ‘controversial’ dalam sejarah negara.
Dalam lain perkataan seluruh pimpinan tertinggi UMNO terutamanya, tidak boleh diyakini mampu untuk bertindak dengan penuh tanggungjawab. Mereka semua hanya berbuat tidak tahu sahaja seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dan membiarkan sahaja perkara yang menderitakan rakyat berbilang kaum dalam negara ini. Justeru UMNO itu sendiri dijadikan benteng untuk melindungi semua kegiatan tidak bermoral yang dilakukan oleh pimpinan-pimpinan parti itu.
Sepatutnya UMNO menjadi pelindung kepada rakyat serta mempastikan pimpinan mereka tidak berlaku sumbang terhadap rakyat lebih-lebih lagi kepada bangsanya sendiri. Kita tidak dapat bayangkan betapa tidak bertanggungjawabnya UMNO terhadap bangsa Melayu itu sendiri kerana menyebabkan bangsanya dipandang rendah oleh bangsa-bangsa lain sehinggakan tidak lagi ada di kalangan barisan pemimpin tertingginya untuk mengembalikan kredibiliti bangsa kita sendiri.. Malahan pimpinan UMNO merupakan penyumbang terhadap kejatuhan tahap persepsi bangsa lain dan masyarakat antarabangsa di dunia ini terhadap orang Melayu.
Semua pimpinan kita berimejkan rasuah dan stigma ini tidak dapat dibuang lagi. UMNO itu rasuah, rasuah itu UMNO. Begitu lah persepsi rakyat terhadap parti itu. UMNO sedang menghadapi krisis keyakinan di tahap yang terendah sekarang ini. Berbagai-bagai persepsi yang ada kepada UMNO itu kini. UMNO dikaitkan dengan rasuah, jenayah yang berbagai-bagai dan salah guna kuasa yang tidak terbendung, malahan segala-gala yang buruk itu ada kepada UMNO.
Kita tidak tahu sama ada Najib sedar atau pun tidak yang kata-kata beliau serta barisan rakan pimpinan beliau sentiasa dipandang remeh oleh masyarakat negara ini termasuk bangsa Melayu yang sedar tentang keadaan kepimpinan dan negara kita kini. Kata-kata pucuk pimpinan kita sentiasa diremehkan oleh rakyat kerana tahap persepsi rakyat terhadap kepimpinan UMNO adalah yang terendah dalam sejarah merdeka kita.
Kita masih tertunggu-tunggu jawapan kepada masalah yang rakyat hadapi. Isu terhadap kerajaan sekarang terlalu banyak sehinggakan tidak dapat dibariskan dalam masa yang singkat jika hendak diingat dan selesaikan. Negara telah diabaikan oleh pimpinan yang memerintah hari ini dan rakyat yang ada sekarang ini terpaksa memberikan sokongan kepada pihak lain yang belum tentu boleh memberikan penyelesaiannya. Rakyat sudah sampai ke tahap tidak berdaya untuk menahan ragam dan sikap pimpinan kita terutamanya pucuk pimpinan di atas dan ramai di antara mereka memberikan sokongan kepada pihak pembangkang walaupun kita melihat pembangkang sendiri sedang menghadapi kecelaruan dalam parti masing-masing.
Hanya PAS nampaknya yang agak tenang dan PAS boleh menjadi penyejuk kepada perasaan panas yang dihadapi oleh rakyat di atas perlakuan pucuk pimpinan dan penyokongnya di dalam kabinet itu.
Kita memahami hakikat yang politik negara ini banyak ditentukan orang Melayu dan jika ada pihak-pihak yang cuba untuk berbohong kepada orang Melayu dengan berbagai-bagai retorik kosong mereka akan gagal untuk menarik perhatian mereka. Saya bermaksud jangan sekali-kali membohongi orang Melayu kali ini kerana orang Melayu sudah terlalu jemu dibohongi oleh parti mereka sendiri. Jika selama ini Melayu dikatakan mudah dibohongi kali ini mereka dirasakan tidak lagi mahu suapkan dengan retorik dan slogan kosong yang mereka sudah mual mendengarnya.
Nafsu Najib masih kuat untuk terus memegang kuasa, tetapi tidak bertenaga lagi. Sudah sampai masanya beliau mengangkat tangan dan mengakui yang beliau tidak berkemampuan untuk mentadbir negara ini. Semua yang dilakukannya gagal dan tidak selesai. Bak kata orang Negeri Sembilan, ‘ghoso eh ado, tapi kojo tak siap’…..yang bermaksud. ‘he has the urge and will, but with no more power’. Tidak ada kerja yang akan siap dan sempurna dilakukannya.
Hasilnya, oleh kerana beliau masih berada di kerusi itu beliau dikelilingi oleh ahli-ahli penasihat dan kabinet yang lemah sehinggakan tidak ada siapa yang boleh mengambil alih tugas beliau kerana seluruh anggota kabinet adalah dari acuan yang sama.
Gantilah Najib dengan salah seorang dari kabinet yang ada, keadaan akan serupa sahaja keadaannya, malahan mungkin lebih buruk lagi. Itulah dilema ahli-ahli UMNO sebenarnya, tetapi yang mana sudah sedar mereka tidak lagi bergiat dan memberikan sokongan kepada PAS dan mana-mana NGO yang lain.
Semua yang Najib rancang tiada apa yang berhasil. Beliau pun tidak faham apa yang beliau rancangkan kerana beliau hanya bergantung kepada nasihat PEMANDU yang tidak berfaedah dan beliau sendiri pula tidak faham apa yang dinasihatkan itu. Negara akan terus berpecah belah kerana kelemahan kepimpinan ini. Berbagai-bagai persepsi buruk yang lain yang dianggap oleh pimpinan seperti tiada apa yang berlaku.
Jenayah di sana sini. Rompakan harta rakyat berlaku sepanjang masa tetapi tidak pula terjumpa pesalahnya walaupun mereka berkeliaran di depan mata kita sepanjang masa. Yang dibunuh tiada pembelaan kerana yang membunuh dilindungi oleh kuasa yang ada di tangan mereka. Tetapi orang dan kumpulan yang sama yang mengaku hendak mempertahankan agama Islam. Islam apa yang mereka pertahankan kita pun tak tahu.
Najib tidak sepatutnya dibawa ke dalam politik negara dari awal lagi. Beliau layaknya duduk bersembang dengan saya dan yang lain yang tidak berkepimpinan ini di warung-warung dan kedai kopi minum teh tarik kalau malas hendak ke masjid. Tetapi malangnya kita berikan tanggungjawab besar negara kepada beliau dan kita minta beliau melakukan transformasi dan berbagai lagi. Kita telah memberikan tugas menjaga negara kepada yang tidak ahlinya.
Itu sebabnya semua program transformasi perancangan Najib terhempas sebelum terbang (crash before taking off). - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan