Logo Umno  
Logo Umno


TAIPING - Umno menyasar pendaftaran empat juta orang dalam kalangan generasi muda sebagai anggota parti serta pengundi baharu sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 menerusi kempen yang lebih kreatif, kata Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie, yang juga Pengerusi Biro Keahlian Umno, berkata parti menyedari bahawa separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi, iaitu kira-kira enam juta orang, adalah generasi muda yang merupakan pemilih baharu.

"Umno juga memberi sedikit insentif kepada negeri yang mencatat jumlah keanggotaan yang tinggi, saya berharap usaha ini dapat terus dipergiat kerana Umno tidak seharusnya selesa dengan jumlah anggota dan pengundi sedia ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kempen Keahlian Pergerakan Puteri Umno Malaysia di Taman Tasik Taiping hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata usaha menambah anggota parti sewajarnya tidak hanya memfokus kepada kuantiti malah kualiti jiwa golongan muda juga perlu ditawan kerana mereka akan bersama-sama parti sewaktu susah dan senang dalam menegakkan perjuangan. - Bernama