Khamis, 16 Januari 2014

Roadshow kalimah Allah: Umno patut buat di Putrajaya, kata Ketua Penerangan PAS

OLEH DIYANA IBRAHIM


Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) hari ini menyelar rancangan Umno Selangor untuk mengadakan perhimpunan bersiri (roadshow) untuk mendidik umat Islam di negeri itu berkenaan undang-undang penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata, sebelum Umno Selangor ingin mengadakan roadshow tersebut, mereka perlu memahami keputusan Kabinet yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu kalimah Allah.

"Kalau mereka (Umno Selangor) nak buat roadshow, buatlah di Putrajaya di hadapan Kabinet atau jemaah menteri kerana mereka yang memutuskan ia dibenarkan untuk digunakan bagi Kristian Sabah dan Sawarak namun tidak di Semenanjung amat mengelirukan.

"Jadi mereka kena betul-betul faham apa yang diputuskan dalam kabinet mengenai isu tersebut," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Malah beliau juga turut menyelar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang disifatkan telah mengelirukan bukan sahaja umat Islam bahkan masyarakat bukan Islam.

"Dalam hal ini semuanya keliru bukan sahaja Najib malah menteri-menterinya pun sama. Justeru, jika kalau Umno Selangor adakan roadshow maka buatlah di hadapan pejabat KDN," katanya.

Hari ini Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata sebanyak 30 roadshow dengan kerjasama  22 bahagian Umno di negeri itu akan diadakan bagi mendidik umat Islam mengenai Enakmen 1988 Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam), undang-undang yang melarang semua penganut bukan agama Islam menggunakan kalimah Allah dan 34 perkataan bahasa Arab yang lain di negeri ini.

Roadshow itu akan bermula malam ini di Sekinchan dan diikuti dengan Shah Alam pada 17 Januari dan Klang pada tarikh lain.

"Semuanya sudah dirancang dan terserah kepada setiap bahagian untuk memutuskan tempat dan tarikh. Ia lebih kepada ceramah untuk mendidik umat Islam dan bukan Islam mengapa penggunaan Allah dilarang bagi bukan Muslim di negeri ini.

“Kita mempunyai dua penceramah untuk setiap roadshow yang akan berbincang tentang isu ini daripada segi undang-undang dan agama," katanya.

Andrew menjadi sasaran kebencian oleh pelbagai kumpulan Muslim. Lebih 200 laporan polis dibuat terhadapnya termasuk oleh Umno Selangor dan kumpulan pejuang hak Islam meminta beliau menarik balik kenyataan itu.

Keadaan semakin teruk apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu premis Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) dua minggu lalu.

Jais merampas lebih 300 Bible dalam bahasa Melayu dan Iban dalam serbuan tersebut. Dua kakitangan PBM juga turut ditahan, namun dibebaskan pada petang yang sama.

Mahfuz sebelum ini dalam sidang medianya menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah kerana fatwanya sebelum ini bercanggah dengan kerajaan pusat.

Beliau mempersoalkan adakah pendirian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengikut Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988   merupakan pendirian betul atau keputusan kerajaan pusat melalui Kabinet yang mengizinkan penggunaan kalimah Allah kepada penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak itu.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Ini masalahnya bila Ketua Penerangan BODOH. Benda mudahpun keliru. Kebenaran untuk Sabah dan Sarawak itu dalam bahasa Iban, Kadazan, dayak dll. Yang tidak dibenarkan dalam bahasa Melayu. Hang pi mengajilah Mahfuz, biar cerdik sikit.