Ahad, 19 Januari 2014

Razali: Hukum penghina Islam sebelum jadi trend

MALAYSIAKINI




Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menggesa tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina atau mempersenda agama Islam, sebagai pengajaran agar perkara itu tidak berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata perbuatan meminta maaf secara terbuka sahaja tidak boleh diterima kerana agak sukar menentukan sama ada kemaafan yang dipinta disertai dengan keinsafan.

"Jika tidak, perbuatan menghina Islam akan menjadi 'trend' kepada mana-mana pihak melakukannya secara sengaja atau tidak sengaja kerana ia boleh selesai dengan cara meminta maaf," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengetuai pasukan sukarela Bees & Ant (BN) bergotong royong membersih kawasan perumahan Taman Guru di Jalan Temenggung di Muar petang semalam.

Beliau diminta mengulas kewajaran penyelesaian isu guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Nan Ya, Kota Tinggi, Chew Swee Tuan yang melarang seorang guru mualaf wanita daripada memakai tudung ketika mengajar di sekolah tersebut.

Semalam Chew bersama Pengerusi Lembaga Pengurusan sekolah berkenaan Phang Ah Ngang telah membuat kenyataan meminta maaf secara terbuka berhubung isu tersebut.- Bernama

Tiada ulasan: