Ahad, 26 Januari 2014

PR Johor sokong penuh perbincangan bersama BN untuk lerai sengketa kaum


Pakatan-Rakyat



JOHOR BAHRU: Pakatan Rakyat (PR) Johor menyokong penuh usaha kepimpinan tertinggi yang menawarkan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan BN bagi meleraikan ketegangan kaum.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Pengerusi PAS Johor, Aminolhuda Hassan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong dalam kenyataan bersama menegaskan langkah itu perlu dilakukan untuk memastikan tidak berlaku satu lagi rusuhan kaum 13 Mei, sebagaimana yang dirancang sesetengah pihak.

“Kami dengan penuh rasa cinta dan patriotisme menyokong penuh agar diadakan perbincangan dan menggesa mesyuarat Majlis Tertinggi BN malam ini melangkaui pertimbangan parti atau peribadi untuk memastikan pertemuan dapat dijayakan supaya mesej dapat disampaikan kepada seluruh rakyat.

“Rakyat tanpa mengira kaum, agama, kawasan dan kecenderungan politik tidak menerima atau bertoleransi dengan sebarang cubaan jahat yang cuba melemah serta memusnahkan negara dengan mengapi-apikan kebencian kaum atau agama.

“PR Johor percaya rakyat mahukan perpaduan, keamanan dan toleransi terus menjadi ciri pembangunan bangsa serta mengecam usaha mewujudkan semula tragedi 13 Mei di Malaysia,” kata mereka dalam kenyataan.

Menurut mereka, usaha ke arah perbincangan itu merupakan satu idea yang baik dan patut turut diadakan di peringkat negeri.

Sehubungan itu, PR Johor juga mengusulkan agar diadakan Sidang Kemuncak antara pemimpin kedua-dua pihak di negeri itu.

“Bersesuaian dengan moto ‘Johor Menerajui’, kami mengusulkan satu mesyuarat peringkat tertinggi bersama BN Johor bagi menyakin rakyat bahawa tidak akan berlaku satu lagi rusuhan kaum.

“Kami bersedia mengadakannya pada bila-bila masa, bergantung kepada respon kepimpinan BN Johor,” kata mereka.

Pada masa sama, PR Johor juga sedang merangka satu strategi untuk menawan lapan kerusi marginal Parlimen dan lapan kerusi marginal Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

“Menyedari cabaran dan tugas itu, keutamaan PR Johor kini adalah merangka strategi dalam tempoh satu bulan agar sasaran itu dapat dicapai.

“Semua kerusi yang dimenangi di Johor merangkumi lima kerusi Parlimen terutama tiga kerusi marginal Batu Pahat, Bakri dan Kluang serta 18 kerusi DUN mesti diperkukuhkan.

“Satu mesyuarat peringkat tertinggi akan diadakan di Johor bulan depan untuk memulakan kempen yang diberi nama ‘negeri barisan hadapan’ PR Johor dalam menuju Nusajaya dan Putrajaya pada PRU-14,” ujar mereka. -Roketkini.com

Tiada ulasan: