Rabu, 1 Januari 2014

Perhimpunan Haram: DBKL Bincang Tindakan Susulan Dengan Polis

Persembahan konsert ambang tahun baharu 2014 terpaksa dihentikan ekoran peserta-peserta perhimpunan haram menceroboh masuk di Dataran Merdeka. Foto: BERNAMA
MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berbincang dengan pihak polis bagi menentukan tindakan susulan terhadap penganjur perhimpunan haram di Dataran Merdeka pada Selasa malam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata pihaknya akan memutuskan tindakan lanjut terhadap penganjur perhimpunan itu setelah satu mesyuarat khas diadakan.

"Setakat ini DBKL belum mengenal pasti apa tindakan yang akan diambil...sama ada tindakan saman kepada penganjur atau tindakan-tindakan lain yang sesuai," katanya.

Perhimpunan haram itu yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO), dihadiri kira-kira 4,000 peserta telah merencatkan konsert Ambang Tahun Baharu anjuran DBKL yang terpaksa dihentikan setengah jam sebelum detik jam 12 malam ekoran peserta perhimpunan menyerbu masuk ke Dataran Merdeka.

Polis menamakan empat NGO sebagai terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram berkenaan iaitu Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Mengulas mengenai jumlah kerugian, Ahmad Phesal berkata DBKL setakat ini belum menerima apa-apa laporan kerugian peralatan atau harta benda susulan perhimpunan haram itu.

"Setakat ini belum terima apa-apa.. tetapi apabila ada (laporan) kita akan lihat dan kira berapa jumlah kerugian," katanya.

Ahmad Phesal turut memuji kecekapan anggota keselamatan yang mengawal keadaan sehingga tanpa berlakunya kejadian tidak diingini.

"Saya juga bersyukur kerana orang awam turut memberi kerjasama dan tidak mencetuskan provokasi meskipun persembahan bunga api untuk sambutan tahun baharu terpaksa dihentikan bagi mengelakkan insiden berpanjangan," katanya.

Beliau turut menegaskan tidak timbul isu wujudnya pembaziran apabila persembahan bunga api dihentikan kerana ia (bunga api) masih boleh digunakan untuk acara-acara lain.-BERNAMA

Tiada ulasan: