Rabu, 1 Januari 2014

Penjaga anjing Melayu tidak kesal dihalau, berusaha cari tapak baru

OLEH LOOI SUE-CHERN




 
Pasangan Melayu yang menjadi tempat berlindung 800 ekor anjing dan kucing liar di Alor Setar diperintahkan keluar dari tanah yang mereka gunakan hari ini namun ia tidak akan mengakhiri usahanya untuk terus menjadi pelindung haiwan-haiwan itu.

Pak Mie atau nama penuhnya Muhammad Azmi Ismail (gambar), berkata beliau tidak kesal. Dia tahu bahawa dia dan anjing serta kucingnya tidak boleh tinggal kekal di atas tanah di tepi teping sungai di Tanjung Bendahara, Alor Setar itu.

Bekas kontraktor yang berusia 56 tahun itu sedang berusaha untuk mendapatkan sebidang tanah yang sesuai dan cukup untuk haiwannya.

"Isteri (Halijah Idris, 66, atau Mak Intan) dan saya tahu kami terpaksa keluar juga satu hari ini. Tetapi untuk mendapat dan membeli tanah untuk tujuan itu bukan senang. Tanah yang sesuai mesti jauh dari kawasan kediaman," katanya.

"Jika saya boleh memperoleh dana, saya ingin mendapatkan 50 ekar tanah dan membina rumah perlindungan di tengah-tengah kawasan itu. Saya akan membiarkan kawasan sekeliling kosong bagi mengelakkan sebarang aduan daripada pemilik tanah berhampiran," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Pak Mie telah mengalami pengalaman yang perit sewaktu beroperasi di tanah miliknya di Kuala Nerang, yang terletak lebih kurang 37km dari bandar.

Beliau membeli tanah berkenaan dengan menggunakan wang sumbangan untuk menubuhkan tempat perlindungan haiwan yang baru dan merancang berpindah ke sana tahun lepas. Bagaimanapun, perancangan tergendala apabila penduduk kampung berdekatan membantah.

Beliau berkata, tiada harapan untuk mengubah fikiran penduduk berkenaan dan berpindah ke sana sekarang.

"Penduduk kampung di situ adalah orang Melayu. Saya juga seorang Melayu dan saya faham perasaan mereka. Saya tahu tidak guna cuba mengubah fikiran mereka. Selain itu, saya juga tidak mahu mengambil sebarang risiko dengan keselamatan anjing-anjing saya.

"Kuala Nerang tidak akan menjadi tempat kami. Saya perlu mencari pembeli bagi tanah itu. Sekurang-kurangnya, saya boleh mendapatkan wang yang benar-benar diperlukan sekarang, " katanya.

Walaupun diusir, Pak Mie masih yakin walaupun sedih dan terkejut dengan tindakan Majlis Bandaraya Alor Star semalam mengeluarkan amaran terakhir bagi meninggalkan Tanjung Bendahara.

Akhbar The Star hari ini melaporkan bahawa tempoh tiga bulan bagi Pak Mie berakhir semalam dan beliau kini terpaksa membersihkan tempat perlindungan sementara yang dibina di tebing sungai dan mengosongkannya.

Tanah kerajaan itu dimiliki Indah Water Konsortium.

Pak Mie berkata, beliau beranggapan telah diberi masa lebih daripada tiga bulan oleh pihak majlis untuk menyelesaikan segala-galanya.

"Mengapa majlis menghantar pegawai pada Oktober lalu agar saya menaik taraf pusat perlindungan ini dengan bumbung, lantai simen, sistem saliran dan tangki septik apabila ia akan menghalau saya dan semua haiwan keluar selepas tiga bulan? Siapa yang akan melakukan semua ini jika ia hanya untuk tempoh tiga bulan?

"Memang benar bahawa majlis itu tidak pernah memberikan saya apa-apa dalam hitam putih mengenai perkara ini, tetapi saya percaya bahawa ia akan membolehkan saya diberi lebih banyak masa daripada tempoh pendek hanya tiga bulan," katanya.

Pak Mie mendakwa dengan melakukan kerja menaik taraf itu, dia akan diberi lesen untuk anjing-anjing jalanan yang diselamatkan oleh beliau dan isteri.

"Apabila pihak majlis memberitahu saya untuk melakukan kenaikan taraf ini, saya fikir patut melakukannya dengan serta-merta. Saya juga mahu lesen anjing supaya boleh menangkis aduan.

"Majlis berbuat demikian kerana aduan, yang saya tahu ia bukanlah daripada penduduk di kawasan perumahan berhampiran. Saya berharap orang-orang yang mempunyai masalah dengan saya dan rumah perlindungan akan datang dan bercakap dengan saya sebelum membuat sebarang aduan, " kata beliau sambil menambah dia bukan seorang lelaki yang tidak bertolak ansur.

Walaupun Pak Mie sedang berhadapan pengusiran, beliau dan isteri bertekad melindungi haiwan-haiwan yang ada.

"Kami tidak boleh berhenti mengambil haiwan baru jika seseorang datang kepada kami membawa kotak berisi samada anak kucing atau anjing.

"Jika kami menolak, kami tahu haiwan berkenaan akan dibuang begitu sahaja dan dibiarkan hidup mencari makanan sendiri. Ia sesuatu yang kejam dan kami tidak boleh membiarkannya.

"Menjaga beratus-ratus anjing dan kucing adalah sukar tetapi ia memberi kepuasan tersendiri . Berurusan dengan manusia adalah lebih sukar," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Star Gooi Hsiao Leung berkata beliau terkejut apabila mendengar tentang amaran terakhir pihak majlis untuk Pak Mie, kerana dia juga telah diberi gambaran bahawa rumah perlindungan itu telah diberikan lebih banyak masa.

Katanya, beliau akan menyiasat dengan majlis untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan membantu Pak Mie.

Tiada ulasan: