Ahad, 26 Januari 2014

Pemuda PAS gesa Khalid-Azmin berhenti berbalah

OLEH THE MALAYSIAN INSIDER


Suhaizan menegaskan bahawa perbalahan yang berlaku tidak memberikan keuntungan kepada Pakatan dan rakyat Selangor. - Gambar The Malaysian Insider. 



Suhaizan menegaskan bahawa perbalahan yang berlaku tidak memberikan keuntungan kepada Pakatan dan rakyat Selangor. - Gambar The Malaysian Insider.Selepas sekian lama mendiamkan diri dalam persengketaan di antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali di Selangor, PAS akhirnya bersuara melalui sayap pemudanya yang meminta kedua-dua pemimpin PKR itu berhenti berbalah kerana ia memberikan imej negatif kepada Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, pada ketika ini rakyat Malaysia sedang dihimpit kesempitan kos sara hidup akibat tatakelola serta urus tadbir negara oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan perbalahan yang berlaku di Selangor tidak sedikit pun membantu apa-apa.

"Kerajaan negeri Selangor pimpinan PR sewajarnya memberikan keutamaan serta fokus yang tidak berbelah-bahagi ke arah isu-isu kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Ia akan menjadi cerminan perbezaan antara pentadbiran PR berbanding Umno-BN; bukannya mempertajamkan lagi konflik dalaman yang hanya akan meruntuhkan tanggapan baik rakyat terhadap Pakatan," kata Suhaizan dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini.

"Ini langsung tidak memberikan keuntungan kepada Pakatan bahkan tidak akan memberi sedikitpun manfaat kepada rakyat Selangor. Kerajaan PR Selangor seharusnya peka terhadap perkara ini dan kembali menggerakkan agenda kerajaan negeri berlandaskan 'rakyat centric'. Inilah garis jelas perbezaan antara kerajaan pimpinan Pakatan berbanding Umno-BN."

Menurut ketua pemuda PAS penggal pertama itu, sebarang isu dalaman perlu diselesaikan segera mengikut saluran parti dan tidak wajar sama sekali dibiarkan melarat sehingga menghakis persepsi baik terhadap Pakatan yang dibina selama ini.

"Di peringkat nasional pula, 53% undi popular yang berjaya diraih Pakatan dalam PRU13 yang lalu seharusnya memberikan keinsafan kepada kita bahawa lebih separuh daripada keseluruhan rakyat Malaysia menaruh harapan yang tinggi kepada Pakatan untuk membawa reformasi dalam pentadbiran negara.

"Teguran ini bukan soal Pemuda PAS ingin 'menjaga tepi kain orang' tetapi menjadi tanggungjawab kami sebagai komponen dalam PR untuk mengutarakan nasihat dan teguran kearah memastikan survival jangka panjang kerajaan negeri ditadbir Pakatan serta kemaslahatan rakyat," katanya.

Konflik di antara Abdul Khalid dan Azmin timbul kembali baru-baru ini selepas kontrak Timbalan Presiden PKR itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dihentikan.

Abdul Khalid pada Jumaat memaklumkan kedudukan Azmin dan Setiausaha Kerja PKNS Norita Mohd Sidek dalam perbadanan negeri itu diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan menambah.keputusan itu turut bergantung kepada pengarah kewangan negeri Selangor.

Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani daripada PKR berkata, Norita berdepan dengan penganiayaan setelah ditukarkan ke pejabat SUK tanpa melalui siasatan lanjut.

Katanya, bekas Pengurus Besar PKNS Datuk Othman Omar tidak wajar dipersalahkan atas keputusan untuk tidak meneruskan kedudukan Mohamed Azmin sebagai ahli lembaga pengarah kerana kuasa terletak di tangan menteri besar.

“Saya tidak nampak perkara ini salah PKNS. Jawatan Azmin perlu segera dikembalikan kerana kontraknya tamat pada 2015. Ini namanya melucutkan jawatan. Saya tidak nampak pelucutan jawatan Azmin ini sebagai satu usaha mengemaskini pentadbiran kerana beliau adalah ahli lembaga pengarah,” katanya.

Tiada ulasan: