Jumaat, 10 Januari 2014

Pegawai Wisma Putra didakwa buat tuntutan palsu US126,681

MALAYSIAKINI

 
 
 
Dua pegawai Wisma Putra (Kementerian Luar) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memperdaya Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat kerana mengemukakan penyata perbelanjaan palsu berjumlah US$126,681 tiga tahun lepas.
  
Shahril Effendi Abd Ghany, 48, dan Mohd Hadtamizi Abu Bakar, 47, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.
  
Shahril Effendi yang ketika itu berkhidmat sebagai timbalan ketua perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC didakwa mengemukakan dokumen palsu iaitu penyata perbelanjaan wang pendahuluan sempena Sidang Kemuncak APEC 2011 di Honolulu, Hawaii dari 3 hingga 16 Nov 2011 dan resit rasmi Aloha Way Transportation bertarikh 3 November 2011, berjumlah US$126,681.
  
Tertuduh didakwa telah mengesah dan mengaku membayar US$126,681 sebagai deposit sewaan kenderaan kepada Syarikat Aloha Way Transportation semasa persidangan itu, sedangkan jumlah sebenar yang dibayar adalah US$88,500.
  
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia, 3516 International Court N.W, Washington DC, Amerika, pada 8 Disember 2011.
  
Mohd Hadtamizi, yang ketika itu berkhidmat sebagai penolong pegawai tadbir di Washington DC, didakwa bersubahat dengan Shahril Effendi melakukan kesalahan sama di lokasi dan tarikh yang sama.
  
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai butir matan palsu atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.
  
Rosbiahanin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 10 Februari untuk sebutan semula kes.
  
Shahril Effendi yang kini bertugas selaku pegawai tadbir diplomatik di  Putra dan Mohd Hadtamizi yang kini bertugas sebagai penolong pegawai tadbir, di tempat sama, membayar ikat jamin itu.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala Shahril Effendi diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan Mohd Hadtamizi
diwakili peguam Ridha Abdah Subri.

Di mahkamah sama, seorang peneroka hutan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menawarkan rasuah wang tunai RM20,000 kepada Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Pahang.
  
Tan Meng Lee, 43, didakwa menawarkan rasuah itu kepada Abdul Rahim Sulaiman, 50, supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atasnya (tertuduh) yang melakukan penerokaan secara haram di Hutan Simpan Sungai Terla, Kampung Raja dan tanah kerajaan di Blue Valley, kedua-duanya terletak di Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands.
  
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tanah kerajaan di Blue Valley, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands antara 4 petang dan 5 petang 7 Oktober 2013.
  
Dia didakwa mengikut Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
  
Rosbiahanin membenarkan Tan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Februari untuk sebutan semula kes. Dia membayar ikat jamin.
  
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam S. Devanandan.

Sementara itu, dalam kes lain, Muhdalena Ahmad, yang didakwa mengamuk bersama-sama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di luar kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Julai 2012, hari ini diperintah membela diri terhadap empat pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya.
  
Hakim Mohamed Kamil Nizam memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Muhdalena, 29, atas empat pertuduhan.
  
Empat pertuduhan itu ialah melakukan ugutan jenayah terhadap polis bantuan Kpl Ridzuan Megat Ahmad di Kompleks 'B' JPM pada 9 Julai 2012, memiliki sebilah parang, mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata dan gagal mematuhi nasihat seorang menteri supaya mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan.
  
Mohamed Kamil menetapkan 13 Februari untuk wanita itu membela diri.
  
Hakim juga menetapkan dua lagi tarikh - 24 Februari dan 25 Februari - untuk mendengar keterangan dua pakar psikiatri iaitu Umi Adzlin Silim dari Hospital Putrajaya serta Pengarah dan Perunding Psikiatri Forensik Hospital Bahagia, Ulu Kinta Dr Rabaiah Mohd Salleh.
  
Peguam yang mewakili Muhdalena, M Visvanathan memaklumkan mahkamah anak guamnya itu akan memberikan keterangan secara bersumpah dan beliau juga akan memanggil dua psikiatri itu sebagai saksi pembelaan.
  
Semasa menyampaikan keputusannya, Mohamed Kamil berkata keterangan Ridzuan membantunya dalam membuat keputusan bahawa Muhdalena telah mengugut untuk mendatangkan bahaya kepada pegawai polis bantuan itu, berdasarkan keterangannya bahawa tertuduh dan rakan lelakinya telah membuat ugutan dan menyerang walaupun diarah meletakkan senjata.
  
Ridzuan dalam keterangannya berkata rakan Muhdalena, Khalil Afendi Abd Hamid menjerit "Polis jangan masuk campur, kalau tak, mati", dan selepas itu kedua-dua mereka meluru ke arahnya, memaksanya melepaskan tembakan.
  
"Walaupun Ridzuan seorang anggota polis bersenjata tetapi dengan mengambil kira tertuduh tidak berhenti walaupun diberi amaran tiga kali dan sebaliknya terus meluru ke arahnya, saya faham keadaan itu boleh menyebabkan Ridzuan bimbang akan nyawanya," katanya.
  
Mohamed Kamil berkata tiga pegawai polis di tempat kejadian dan rakaman CCTV membuktikan Muhdalena bersenjatakan parang di tempat kejadian.
  
Beliau juga memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen bagi pertuduhan ketiga dan keempat terhadap Muhdalena.
  
"Seorang saksi pihak pendakwaan Mohd Sukri Baharudin, anggota polis bantuan yang bertugas di pintu utama kompleks itu dalam keterangannya menyatakan Muhdalena masuk ke kawasan itu tanpa mendapatkan kad atau permit," kata Mohamed Kamil.
      
Muhdalena didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Kompleks B, JPM pada kira-kira 2.30 petang, 9 Julai 2012.
  
Muhdalena dan Khalil Afendi, 47, dilaporkan mengamuk di luar kompleks JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak dan Khalil meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan.
  
Bagi pertuduhan melakukan jenayah ugut mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan, dia berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
  
Pertuduhan memiliki senjata mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
  
Muhdalena juga berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya mengikut Akta Tempat Larangan dan Kawasan Larangan 1959.- Bernama

Tiada ulasan: