Isnin, 27 Januari 2014

PAS kecam serang gereja gesa polis segera cari dalang

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: PAS berharap pihak polis menjalankan siasatan hingga ke 'lubang cacing' agar mereka yang tidak bertanggungjawab melempar bom ke arah sebuah gereja di Pulau Pinang dikenakan tindakan sewajarnya.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu percaya kejadian yang berlaku di gereja, Church of the Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang adalah perbuatan sabotaj oleh pihak tertentu untuk menimbulkan suasana tidak harmoni di Pulau Pinang.

"Polis kena siasat, biar dapat tangkap siapa yang buat sabotaj itu. Kita tidak mahu suasana akan bertambah buruk selepas ini kerana ianya melibatkan rumah ibadat dan mengheret kepada sentimen agama dan kaum," katanya.

Malah beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, meminta pihak polis menggunakan kecekapan yang mereka ada bagi menangkap mereka yang sengaja menimbulkan provokasi kaum.

Mohamad Sabu, tidak menolak provokasi sering timbul apabila kerajaan menghadapi masalah dan tekanan daripada rakyat termasuklah isu kenaikan harga barang.

"Apa yang berlaku saya yakin ada pihak cuba menimbulkan perkara yang boleh mencetuskan sentimen perkauman. PAS tidak pernah terpanggil untuk mencipta isu perkauman.

"Kalau dulu bakar gereka dan baling kepala babi di dalam Masjid, kegiatan yang berlaku ini akan mengugatkan kententeraman kaum," katanya kepada Harakahdaily.

Segerakan pertemuan PR-BN

Justeru, bagi mengelakkan timbulnya insiden seperti hari ini  Mohamad Sabu berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyahut saranan Pakatan Rakyat untuk berbincang bersama bagaimana menyelesaikan isu yang membabitkan perkauman ini.

Hari ini, sebuah gereja diserang bom buatan sendiri awal pagi tadi selepas kain rentang kontroversi kalimah Allah digantung di luar gereja tersebut semalam.

Dua bom buatan sendiri, Molotov cocktails telah dibaling ke kawasan lapang gereja kira-kira jam 1.30 pagi hari ini.

Semalam kain rentang bertulis 'Allah is Great (Allah Maha Besar), Jesus is the son of Allah' (Jesus adalah anak lelaki Allah) dilihat digantung di pekarangan beberapa buah gereja dan sebuah perhentian bas di negeri ini.

Tiada ulasan: