Jumaat, 3 Januari 2014

PAS gesa Majlis Kristian Persekutuan kemuka pendirian

 
Pendirian CFM dan pihak gereja itu penting itu bagi menghilangkan beberapa keraguan yang mendakwa proses Kristianisasi sedang berlaku.




PETALING JAYA: Majlis Kristian Persekutuan (CFM) digesa supaya tampil menyatakan pendirian rasmi bahawa mereka tidak ada agenda tersembunyi yang boleh menjejaskan keharmonian kehidupan beragama di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, pendirian CFM dan pihak gereja itu penting itu bagi menghilangkan beberapa keraguan yang mendakwa proses Kristianisasi sedang berlaku.

Mujahid berkata, jika ada apa-apa bukti bahawa pihak tertentu menyebarkan atau menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam dengan menggunakan kalimah “Allah” maka pihak yang terlibat hendaklah diambil tindakan kerana menyalahi semangat kebebasan agama dengan mengambil kira Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Namun beliau menegaskan, hanya dengan tertera perkataan “Allah” dalam Bible bukan alasan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengambil tindakan tanpa bukti kukuh unsur penyebaran dan menggugat akidah tauhid umat Islam.

“Merampas kitab suci penganut agama lain walaupun atas nama larangan menggunakan perkataan “Allah” perlu ditangani dengan hikmah dan teliti kerana ia akan memburukkan sifat ‘Rahmat’ (pengasih) Islam kepada semua penganut beragama, antara lainnya ialah hak kebebasan beragama mereka termasuk kitab suci mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu menyifatkan tindakan JAIS menyerbu premis Persatuan Bible Selangor, walaupun berasaskan Enakmen 1988 (Kawalan Penyebaran Agama kepada Orang Muslim) telah menjejaskan hubungan antara agama di negara ini.

Katanya, menentukan apa yang boleh dan tidak boleh ke atas agama lain juga adalah bentuk paksaan selain bentuk fizikal yang dilarang oleh Islam.

“Persoalan kebebasan agama yang termaktub dalam perlembagaan seolah-olah tercemar dengan tindakan JAIS dan bercanggah dengan perintah Allah.

“Hubungan Islam dengan bukan Islam adalah bersandarkan “tiada paksaan dalam agama” dan itu adalah jaminan kerahmatan Islam kepada penganut agama lain termasuk hak memiliki kitab agama masing-masing.

“Oleh kerana itu apa saja tindakan yang bertentangan dengan prinsip ini dianggap mencemari nama baik Islam,” tegasnya.

Beliau sehubungan itu menyeru dan merayu supaya hak kitab suci agama lain termasuk penganut Kristian dipelihara dan menjadi tanggungjawab pihak penguasa agama Islam di Selangor memelihara prinsip ini seperti yang dituntut oleh Islam, lebih utama dari kepentingan sentimen atau politik.

Tiada ulasan: