Isnin, 27 Januari 2014

Muhkriz digesa campur tangan penyahsenaraian BERNAS

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen Alor Star Gooi Hsiao Leung menggesa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menggunakan pengaruhnya untuk campur tangan dalam proses penyahsenaraian Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dari Bursa Malaysia.

Gooi (kanan) berkata, BERNAS memainkan peranan besar memastikan keselamatan makanan negara dan mengawal lebih 24 peratus pasaran padi negara serta membekalkan 45 peratus permintaan beras tempatan.

"Penyahsenaraian akan mengeluarkan BERNAS dari penelitian awam, dan syarikat tersebut akan mempunyai potensi untuk menanggalkan asetnya, dan kemudiannya menyusun semula pegangan saham ataupun menjual saham kepada orang asing," kata beliau dalam kenyataannya.

Gooi berkata Mukhriz sebelum ini telah meletakkan agenda pertanian sebagai perkara utama dalam kepimpinan beliau di Kedah.

Justeru beliau mahu kerajaan negeri tampil membela masa depan syarikat itu demi membela kepentingan petani, pesawah dan industri padi dan beras negara.

"Sebelum ini, saya cuba membangkitkan kepentingan untuk membahaskan tentang isu penyenaraian keluar BERNAS di Parlimen tetapi telah ditolak oleh speaker, dan sehingga sekarang, tiada maklumat terperinci yang diberikan oleh kerajaan kepada orang ramai mengenai sifat yang tepat bagi penstrukturan semula dan juga hala tuju masa depan BERNAS selepas penyenaraian keluar," kata beliau.

BERNAS dijadual mengadakan mesyuarat khas (EGM) hari ini untuk mengundi bagi cadangan penyenaraian keluar BERNAS.

Keputusan itu dianggap penting kerana bakal mempengaruhi nasib beribu-ribu petani padi yang boleh terjejas dengan keputusan tersebut.

Ia juga dikatakan bakal memberi kawalan sepenuh kepada dua syarikat milik jutawan Syed Mohktar Al- Bhukhary (kiri).

Pada 26 November lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyahsenaraian tidak menjejaskan pemegang saham serta tanggungjawab syarikat ke atas pesawah dan pengilang kerana ia hanya bersifat sementara.

Katanya, ia dilakukan bagi membolehkan penstrukturan semula syarikat dilaksanakan secara konsisten, malah selepas proses itu selesai BERNAS akan disenaraikan semula ke bursa.

Tiada ulasan: