Ahad, 26 Januari 2014

MB: RM100 juta sudah diperuntuk baiki jalan pada 2013

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM : Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor untuk mengatasi kerosakan jalan raya berlubang dan berlopak yang boleh menyebabkan kemalangan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata masalah jalan raya berlubang adakalanya tidak boleh dielakkan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

IMG_1830aKatanya lebih RM100 juta telah diperuntukkan sehingga tahun 2013 untuk kerja-kerja menaiktaraf jalan raya dan lebuh raya yang selamat bagi keselesaan pengguna.

“Saya ingin berbincang dengan PBT bagaimana kita dapat atasi masalah jalan berlubang dan berlopak yang memberi kesan dan menyebabkan kemalangan.

“Meskipun ratusan juta ringgit telah diperuntukkan untuk membaiki jalan raya, tetapi selepas enam bulan lubang yang ditampal akan rosak semula. Saya akan cuba selesaikan masalah itu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya di tempat letak kereta Stadium Shah Alam, pagi tadi.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menyambut baik pengajuran kempen oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor hari ini kerana ia boleh membantu orang ramai supaya lebih berwaspada ketika berada di jalan raya.

Katanya langkah itu dapat memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya lebih menghargai nyawa berikutan peningkatan jumlah kematian yang semakin serius sejak tahun lalu.

“Setiap tahun sekurang-kurangnya 6,000 kemalangan maut berlaku di jalan raya dan angkanya dilaporkan semakin meningkat.

“Justeru kempen ini sangat penting terutama di hari perayaan kerana pada waktu itu orang ramai akan menjelajah ke seluruh negara dan kita harap mereka akan sentiasa berhati-hati,” katanya lagi.EZY

Tiada ulasan: