Sabtu, 25 Januari 2014

MB: JAIS akan maklum Kerajaan Negeri tindakan pemeriksaan premis bukan Islam

Oleh: Mohd Ezli Mashut


BANDAR TUN RAZAK : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah menyatakan persetujuan bahawa sebarang tindakan pemeriksaan dalam pelaksanaan enakmen negeri itu terhadap premis bukan Islam akan merujuk kepada Kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia adalah penting bagi memastikan tindakan itu tepat bagi memelihara perpaduan rakyat di negeri itu yang memerlukan penilaian daripada pelbagai aspek sebelum sebarang tindakan dilakukan JAIS.

Jais MB-SelangorKatanya, Kerajaan Selangor tidak akan campurtangan dalam siasatan JAIS berhubung isu pemeriksaan terhadap pejabat Bible Society Malaysia (BSM) baru-baru ini.

“Jika Kerajaan Negeri campur tangan maka ia adalah tidak wajar jadi kita akan harap siasatan itu dijalankan dengan cepat dan keadilan dapat dilaksanakan,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian ketika ditemua media dalam program mengedarkan buah limau kepada peniaga dan orang ramai di pasar pagi Taman Alam Damai, Cheras sempena Tahun Baru Cina, di sini.

Dalam program itu Abdul Khalid turut beramah mesra dengan masyarakat sekitar Bandar Tun Razak serta para peniaga di kawasan itu.

Sebelum ini, Abdul Khalid menyeru JAIS supaya meneruskan siasatan secara profesional dengan mengambil kira sensitiviti penganut agama Kristian di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan terus memainkan peranan dengan mengadakan perbincangan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS bagi memastikan penguatkuasaan di masa akan datang dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perbincangan bersama ketua agama bukan Islam bagi memberi pemahaman mengenai Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988.EZY

Tiada ulasan: