Khamis, 16 Januari 2014

Krisis PKNS: MB akan panggil pengurus besar dan setiausaha syarikat PKNS

THE MALAYSIAN INSIDER



























Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) akan memanggil pengurus besar dan setiausaha syarikat Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi menjelaskan apa yang berlaku dalam badan milik kerajaan negeri itu hingga melarat menjadi konflik.

Ini berikutan pelbagai kenyataan dan spekulasi yang timbul ekoran berita pemecatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dari PKNS.

Azmin sebelum ini mengesahkan beliau menerima surat beliau dipecat dari lembaga pengarah PKNS. Surat itu kemudiannya dikenalpasti sebagai surat yang dihantar oleh Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.

Semalam, selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Abdul Khalid berkata, Exco tidak pernah memecat Azmin.

"Keputusan (tidak sambung Azmin) dibuat oleh pengurus besar PKNS. Ia bukan keputusan parti. Exco tidak buat keputusan itu," kata Abdul Khalid ketika sidang media selepas mesyuarat Exco semalam.

Hari ini dalam sidang media bersama Azmin, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pemecatan Azmin tidak sah kerana yang berkuasa adalah menteri besar dan Exco.

Ekoran itu, kata Abdul Khalid dalam satu kenyataannya hari ini, kerajaan negeri mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu berhubung keahlian dan pengguguran ahli lembaga pengarah PKNS.

"Kita berpandangan bahawa kenyataan beliau itu mencerminkan sikap pemimpin yang berjiwa besar," kata Abdul Khalid.

Dengan mengambil kira kedudukan dan status beliau, menteri besar dan Exco merasakan perlu mempertimbangkan permintaan beliau sebelum membuat sebarang keputusan muktamad, katanya.

"Perlu ditegaskan Menteri Besar dan barisan Exco terikat kepada Enakmen PKNS dan mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan sebarang kecacatan atau kesilapan yang berkaitan dengan perkara ini," katanya.

Kata Abdul Khalid, sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Exco, kedudukan ahli lembaga pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh pengurus besar PKNS untuk mengelakkan sebarang komplikasi perundangan.

Bagaimanapun tidak jelas, apakah yang diarahkan oleh pengurus besar PKNS yang dinyatakan menteri besar itu.

Jika berdasarkan suratnya kepada Azmin, bermakna timbalan presiden PKR itu tidak lagi menjadi ahli lembaga pengarah PKNS.

Namun, kata Abdul Khalid, oleh kerana perkara ini bukan isu terdesak yang melibatkan kepentingan orang ramai, "Kerajaan negeri meminta rakyat supaya bersabar dan tidak mempercayai sebarang spekulasi sehingga keputusan Exco dibuat".

Tiada ulasan: