Khamis, 23 Januari 2014

KJ: Kabinet kekal dengan Penyelesaian 10 Perkara

MALAYSIAKINI

 
 
 
Mesyuarat jemaah menteri semalam memutuskan yang kerajaan kekal dengan Penyelesaian 10 Perkara dalam isu melibatkan kitab Bible berbahasa Melayu dengan kalimah Allah, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, penyelesaian tersebut adalah jawapan terbaik kepada krisis daripada serbuan dan rampasan kitab Bible bahasa Melayu dengan kalimah Allah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut ketua pemuda Umno itu, menteri besar Selangor sendiri merujuk JAIS kepada penyelesaian itu sewaktu mengulas tindakan agensi agama negeri itu.

"Posisi kita jelas bahawa Penyelesaian 10 Perkara itu kekal.

"Malah menteri besar Selangor sendiri mengakui Penyelesaian 10 Perkaraitu adalah penyelesaian terbaik apabila merujuk JAIS kepada sepuluh perkara itu," kata Khairy selepas berucap pada majlis makan tengah hari anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) tengah hari tadi.

Justeru kata Khairy, kemelut daripada kontroversi itu perlu diselesaikan oleh negeri Selangor dahulu kerana isu agama tertakluk di bawah urusan negeri.

"Sebab itu kita perlu faham ia adalah serbuan yang dilakukan oleh agensi negeri.

"Untuk membolehkan sebarang perbincangan dilakukan, mereka (Selangor) perlu menyelesaikannya di peringkat negeri dahulu," katanya lagi.

Ditanya jika kerajaan Persekutuan wajar campur tangan dalam perkara tersebut kerana Penyelesaian 10 Perkara adalah inisiatif kerajaan, Khairy berkata ia sukar kerana setiap negeri dan kerajaan Persekutuan mempunyai undang-undang berbeza dalam isu agama.

"Tentulah 10 perkara itu tidak boleh mendahului undang-undang negeri.

"Ia agak sukar kerana negara ini adalah satu persekutuan dan setiap negeri ada undang-undang yang berbeza," katanya.

Tiada ulasan: