Selasa, 14 Januari 2014
Kerajaan kawal, cegah unsur pluralisme agama dalam negara, kata Jamil Khir
Kerajaan sentiasa mengawal dan mencegah unsur-unsur pluralisme agama yang semakin berkembang di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar).
Beliau berkata dengan cara itu unsur kebebasan yang bercanggah dengan ajaran Islam serta adat resam akan dapat dihindar sebaik mungkin.
Berucap pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H/2014M di Masjid Putra di Putrajaya hari ini, Jamil Khir berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri turut berganding bahu untuk mempertahankan akidah umat Islam.
"Akhir-akhir ini kita dapati pelbagai usaha yang terancang telah diatur bagi menggugat dan mencabar hak kebebasan yang dibenarkan syariat Islam yang bukan sahaja digerakkan kelompok-kelompok tertentu dalam negara dengan kemudahan dan sokongan media baharu, tetapi turut mendapat sokongan kelompok liberal antarabangsa.
"Justeru, jika kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang Muslim, maka kita akan terpesong," katanya.
Dalam pada itu Jamil Khir turut menyeru umat Islam supaya memperkukuhkan lagi pendekatan sederhana seperti yang diamalkan Nabi Muhammad S.A.W.
"Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain, tetapi pada masa yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan," katanya. – Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan