Jumaat, 10 Januari 2014

Kerajaan BN makin terdesak, gunakan sekolah sebar propaganda politik

sekolah


KUALA LUMPUR: Kerajaan secara senyap didapati mula mengarahkan semua sekolah meletakkan potret pemimpin negara dan negeri di dalam kelas kononnya untuk menyemai semangat patriotisme di kalangan pelajar.

Namun, arahan yang dikeluarkan hanya membabitkan negeri yang diperintah BN dan ia menimbulkan tanda tanya apakah agenda tersembunyi di sebaliknya apabila mereka mengenepi serta menolak potret pemimpin negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Dalam laporan portal The Malaysian Insider, difahamkan satu pekeliling daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dihantar melalui sistem aplikasi WhatsApp atau menerusi lawatan pegawai pendidikan daerah yang menyatakan sekolah ‘digalak’ meletak gambar Yang Di Pertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Arahan tidak rasmi itu mendapat tentangan orang ramai termasuk pentadbir sekolah dan ibu bapa yang menyifatkan ia sebagai satu lagi langkah pembaziran kerana KPM sepatutnya memberi tumpuan kepada latihan lebih baik untuk guru seperti dicadangkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Pimpinan DAP baru-baru ini turut mempersoal dan menuntut perjelasan pihak kementerian mengenai arahan tidak masuk akal yang diberikan itu.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua menegaskan arahan itu jelas tidak jauh bezanya dengan propaganda politik ala-Nazi.

“Ini hanya memperlihatkan sikap kurang keyakinan diri atau narsis. Ia juga tidak lain adalah sebahagian agenda propaganda politik seperti yang diamalkan Mao Zedong sebagai sebahagian usaha indoktrinasinya.

“Kementerian harus memberikan penjelasan segera,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP.

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok pula menyatakan, arahan kerajaan itu tidak mempunyai kewajarannya dan jelas hanya bermotifkan politik semata.

“Kalau satu bingkai sahaja sudah menelan belanja berpuluh ringgit, berapa kos yang terpaksa ditanggung sekolah untuk membingkai potret ini bagi setiap bilik darjah?

“Kenapa pula mesti dalam bilik darjah? Tidak cukupkah gantung potret di dewan sekolah, pejabat dan bilik guru?,” soalnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: