Ahad, 26 Januari 2014

Kalimah Allah: Selangor sedia nasihati bukan Muslim hormat enakmen

Oleh Farah Eliana Mohd Adnand
 
 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor bersedia untuk menasihatkan penganut bukan Islam untuk menghormati Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988 yang melarang mereka daripada menggunakan kalimah Allah.
 
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sekiranya kerajaan persekutuan mengambil pendirian bible yang menggunakan kalimah Allah boleh diedarkan, kerajaan Selangor akan mengambil tindakan susulan.
 
“Kerajaan persekutuan seharusnya memberitahu kami bahawa ia tidak ada sebarang kebimbangan untuk buku-buku ini berada di Selangor. Jadi…kita akan menasihati penduduk bahawa ada enakmen syariah terhadap penggunaan perkataan Allah terhadap bukan Muslim,” kata beliau kepada pemberita.
 
Beliau berkata pihak berkenaan juga akan dinasihati untuk tidak mempamerkan buku-buku sedemikian “dan dikenakan tindakan merampas (buku),”
 
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perjanjian penyelesaian 10 perkara membabitkan pengedaran Bible Bahasa Melayu adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah di peringkat negeri.
 
Justeru walaupun penggunaan kalimah Allah dibenarkan di Sabah dan Sarawak, ia dilarang di beberapa negeri termasuk Selangor yang mempunyai enakmen undang-undang berkaitan.
 
Meskipun Najib memberi penjelasan itu, Khalid masih menyifatkan bahawa  Putrajaya masih berdolak-dalih dalam isu itu.
 
Pada awal bulan ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas kira-kira 300 naskah Bible yang mengandungi kalimah Allah daripada pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damasara.
 
Tindakan itu dibantah oleh pihak gereja yang merujuk kepada Perjanjian 10 Perkara sebagai bukti penganut Krisitian boleh menggunakan kalimah Allah.
 
Bagaimanapun pakar undang-undang dan wakil NGO Islam menegaskan perjanjian itu adalah tertakluk kepada undang-undang negeri mengenai  Islam.
 
Mereka menegaskan larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam adalah sah dan selaras dengan peruntukan perlembagaan.
 
Dalam pada itu Khalid berkata JAIS hanya akan memulangkan bible kepada PBM sekiranya naskah buku suci Kristian itu tidak diperlukan dalam sebarang tindakan mahkamah yang bakal diambil.
 
“Kerajaan negeri akan meminta pihak JAIS mempercepatkan proses siasatan bagi menyelesaikan isu rampasan Bible dan penggunaan kalimah Allah,” kata Khalid.
 
Bagaimanapun beliau berkata kerajaan negeri tidak akan mencampuri urusan siasatan tersebut bagi memastikan ia berjalan lancar.
 
"Jadi kami akan biarkan mereka uruskan perkara itu,. Kami cuma nasihatkan agar siasatan dijalankan dengan lebih cepat mengikut jangka masa pengadilan," tambah beliau selepas mengedarkan limau mandarin sempena Tahun Baru Cina di Pasar Pagi Alam Damai, di sini hari ini.

Tiada ulasan: