Jumaat, 10 Januari 2014

Isu serbuan JAIS: Najib talam dua muka


Kulasegaran


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran mengecam kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyeru keharmonian tapi langsung tidak merujuk serbuan haram Jabatan Agama Islam (JAIS) terhadap Persatuan Alkitab Malaysia (BSM), baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan apa yang diucapkan Najib itu, ia bukan saja mengecewakan semua rakyat Malaysia, malah menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawabnya sebagai pemimpin negara.

“Najib sehingga kini masih enggan bersuara dan hanya mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk kepada serbuan JAIS dengan menyatakan bahawa isu yang boleh memusnahkan keamanan dan keharmonian mesti ditangani melalui dialog serta kedaulatan undang-undang.

“Tapi apakah beliau sedar fakta bahawa tindakan JAIS ke atas BSM itu merupakan pelanggaran terhadap Penyelesaian 10 Perkara yang diputuskan Kabinet?

“Bagaimana Najib boleh memilih untuk mengelak dan berfikir ia mencukupi untuk membuat kenyataan demikian? Mengapa beliau tidak mengarahkan saja penjawat awam agar menghormati dan menerima Penyelesaian 10 Perkara?,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu turut menegaskan, serbuan terbabit juga memalukan dan menjejaskan nama negara di mata dunia.

Tegasnya, jika Najib adalah seorang pemimpin yang benar-benar prihatin, beliau sepatutnya menunjukkan keberanian politik dan melakukan perkara sebetulnya demi kepentingan negara.

“Beliau tidak sepatutnya memilih untuk hanya kekal popular tetapi harus sentiasa melindungi jaminan perlembagaan untuk kebebasan beragama.

“Saya juga berharap beliau tidak melihat isu ini seperti apa yang dinyatakan Pengerusi Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN), Tan Sri Samsudin Osman iaitu ‘seperti seorang bapa, MPPN tidak harus menyalahkan anak-anak tetapi boleh mengatakan ia adalah amat dikesali dan tidak berlaku lagi’.

“Saya sama sekali tidak bersetuju dengan kenyataan Samsudin kerana bapa yang bertanggungjawab dan baik mempunyai kewajipan memberitahu anaknya mengenai perkara betul dan salah serta membezakan benar atau salah,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: