Isu bughah: Penjelasan akan diberikan  
Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss (kiri) berbincang sesuatu dengan Zamri, semalam.


IPOH – Jabatan Mufti Perak akan tampil membuat kenyataan rasmi berhubung perkataan bughah yang digunakan ketika mengulas himpunan Gerakan Kos Sara Hidup (Turun) pada malam sambutan tahun baharu 2014, lalu.

Timbalan Mufti Negeri, Zamri Hashim berkata, penjelasan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kita ambil maklum perkara ini dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya kelak,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Pemuda Pas Perak, di sini, semalam.

‘Bughah’ yang mengikut hukum membawa maksud ‘darah halal’ mencetuskan kontroversi apabila didakwa dikeluarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang merujuk kumpulan perhimpunan berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pemuda Pas Perak, Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, penjelasan sewajarnya perlu dibuat bagi mengelakkan lebih banyak kekeliruan orang ramai.

Menurutnya, kenyataan bughah yang merujuk kepada menghalalkan darah peserta himpunan berkenaan boleh disalah tafsir oleh sesetengah pihak hingga akhirnya memberi kesan buruk kepada masyarakat.