Selasa, 14 Januari 2014

'Idris Jala tak sesuai jadi Kristian jika...'

MALAYSIAKINI




Majlis Gereja menuntut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala menyatakan pendirian sekiranya akan terus mempertahankan Penyelesaian 10 Perkara berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam Bible.

Setiausaha badan agama itu, Herman Shastri berkata menteri tersebut tidak harus berdiam diri dalam mempertahankan perkara itu untuk membuktikan kewibawaan sebagai seorang penganut agama Kristian.


"Ia (tindakan mempertahankan penyelesaian 10 perkara) adalah tanggungjawab mereka yang terlibat dalam perjanjian telah dibuat.

"Oleh itu, Idris Jala yang menjadi perancang utama rundingan perlu tampil menjelaskan (pendiriannya), jika tidak dia tidak sesuai lagi menjadi Kristian," katanya dalam satu forum berhubung kebebasan beragama di Petaling Jaya pada malam tadi.

Katanya lagi  penganut Kristian dapat menilai keprihatinan kerajaan berhubung isu sedang hangat diperdebatkan itu dengan melihat tindakan ke atas Penyelesaian 10 Perkara.

Herman menjelaskan, Penyelesaian 10 Perkara itu antara lainnya membolehkan salinan Bible yang menggunakan perkataan "Allah" boleh diedarkan dengan bebas di Sabah dan Sarawak manakala naskhah edaran di Semenanjung Malaysia perlu dilabelkan "Untuk Kristian Sahaja".

Sementara itu, seorang lagi ahli panel dalam forum tersebut membangkitkan soal kejahilan dalam isu penggunaan kalimah Allah yang didakwa menyebakan larangannya berkuatkuasa.

Pengerusi NGO Jihad Keadilan, Thasleem Mohamed berkata, larangan berkenaan malah menimbulkan kebingungan di kalangan ulama Islam antarabangsa.

"Seramai 62 peratus (orang Islam) daripada jumlah penduduk 27 juta di Malaysia tidak mungkin dapat mengatakan bahawa lebih daripada satu bilion umat Islam di dunia bersalah (kerana membenarkan penggunaan Allah dalam kitab Bible).

"(Ini menunjukkan ada) sesuatu yang tidak kena dengan kita (sistem perundangan Malaysia)," katanya

Turut berucap dalam program itu ialah pengarah NGO Islamic Renaissance Front, Ahmad Farouk Musa yang berpendapat ia diburukkan lagi dengan persaingan antara parti politik yang ingin mengambil untuk dalam isu tersebut.

Katanya, Umno dan PAS lebih serius  untuk membuktikan parti mana kelihatan lebih 'Islam' berbanding menyelesaikan kemelut yang telah berlanjutan.

"Parti Umno ingin menyampaikan mereka lebih Islam daripada PAS dan PAS cuba menggambarkan bahawa Umno lebih kepada Islam sekular.

"Mereka cuba untuk menonjolkan 'Islam' satu sama lain kerana itu kita semua tersepit.

"Untuk menjadi orang Islam yang benar, mereka mesti hidup dalam sebuah negara sekular jadi apa yang mereka lakukan adalah berdasarkan kepada kesedaran dan takut kepada Allah," katanya.

Tiada ulasan: