NAMPAKNYA memang sesuai 2014 dilabel sebagai tahun naik harga atau tahun ikat perut.

Hanya beberapa hari kita masuk ke tahun baharu, sudah ada yang marah-marah kerana mendakwa pelbagai barang dan makanan sudah naik harga sekarang.

Kalau belanja di setengah pasar raya yang menawar harga murah pun, kata mereka, anda kena bayar lebih 50 peratus sekarang.

Maknanya, kalau dahulu pembaca budiman bayar RM300 sekarang kena bayar sekurang-kurangnya RM450 untuk barang yang sama.

Entahlah sejauh mana ketepatannya. Saya akan buat tinjauan segera. Jika anda ada maklumat, sila kongsi dengan saya.

Tapi yang pasti, banyak barang sudah naik harga dan tunggu masa untuk dinaikkan.

Patutlah ramai kecut perut dan marah-marah. Kenaikan harga ini berlaku walaupun kenaikan kadar tol dan tarif elektrik belum diambil kira.

Harga ais dah naik di banyak tempat di seluruh negara. Anda tidak perlu menjadi pakar ekonomi pun untuk mengetahui reaksi rantaian dan domino daripada kenaikan ini.

Tentunya harga minuman, ikan, benda-benda dan perkhidmatan yang mengguna ais dan yang berkaitan dengannya telah naik dan akan menunggu giliran untuk naik.

Bayangkan kembung yang beberapa bulan lalu cuma RM7 ke RM8 sekilo kini sudah mencecah RM18 sekilo.

Kata menteri kalau harga ayam naik, jangan makan ayam. Sekarang harga ikan pula naik. Apa lagi tinggal untuk dimakan ya?

Di sebuah negara yang saya melawat dahulu, saya diberitahu jika tidak ada RM30,000 ‘jangan’ mati, sebab anda perlu bayar sebanyak itu untuk dapatkan kubur tetap.

Kalau tidak, jasad saya akan ditanam di kubur awam dan dicampak ke laut tujuh tahun kemudian. Nampaknya betullah kata orang, hidup susah, mati pun susah!

Di negara kita, insya-Allah, tidak seteruk itu, tetapi, saya akan selidik apakah harga nisan juga turut naik.

Dalam keadaan rakyat berhadapan dengan tekanan hidup akibat peningkatan kos hidup, segala yang menyusahkan mudah mencetus kemarahan.

Sebagai contoh, seorang rakan menceritakan dia pergi ke sebuah klinik kerajaan (perlu sebut lokasinya?). Alat x-ray di situ sudah rosak tiga bulan. Akibatnya, dia disuruh pergi buat x-ray di kawasan lain dan kembali untuk sambung pemeriksaan.

Dia tidak kisah sangat walaupun dibuat macam bulu tangkis. Yang dia persoalkan, kenapa begitu lama tidak berganti sedangkan alat x-ray itu berharga RM10,000 sahaja?

Saya tidak sanggup turunkan di ruang ini apa yang dia kata secara verbatim, tapi memadailah kalau saya sebut, dia hangat hati kenapa untuk perkara lain boleh belanja banyak, tapi untuk kepentingan kesihatan RM10,000 pun susah nak keluar.

Saya terfikir, kita ada beribu klinik kerajaan di seluruh negara. Itu belum ambil kira hospital. Apakah sebuah klinik sahaja di negara ini hadapi masalah alat x-ray rosak tiga bulan tetapi tidak diganti?

Saya juga baca dalam akhbar baru-baru ini, seorang pesara mengadu dikerah ke sana-sini untuk mendapatkan bekalan ubat kerana farmasi pusat perubatan di mana dia diperiksa tidak lagi memberi ubat.

Sebenarnya, langkah mengurangkan perbelanjaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini agak menarik.

Antara lain, elaun keraian menteri dan timbalan menteri dipotong 10 peratus dan penjawat awam daripada Jasa C ke atas antara 5 dan 10 peratus.

Langkah lain termasuk pengurangan kadar makanan dan minuman di persidangan dan majlis rasmi kerajaan.

Langkah seperti ini mungkin baik tetapi tidak cukup.

Sebenarnya, penjawat awam, lebih-lebih lagi yang menjadi ketua, yang walaupun bukan berfungsi membuat untung, boleh membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan.

Saya tahu di satu bahagian (perlu saya sebut nama?), atas inisiatif ketua dan kerjasama kakitangan beberapa tahun lalu, ia mampu menjimatkan kos kira-kira RM20,000 sebulan; maknanya RM240,000 setahun dengan menguruskan kerja yang dikontrakkan sebelum itu.

Seorang bekas ketua jabatan di sebuah universiti menceritakan bagaimana beliau mengawal penggunaan elektrik di bangunannya hingga mampu jimat lebih RM10,000 setahun.

Bayangkan betapa banyak penjimatan yang boleh dibuat jika langkah serupa dapat dilakukan secara meluas di seluruh negara. farush-khan@sinarharian.com.my