SHAH ALAM – Kesempitan hidup yang dialami rakyat ketika ini adalah rentetan daripada dasar-dasar ekonomi tidak tepat yang diperkenal, sebelum ini.
Ketua Eksekutif Institusi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas),Wan Saiful Wan Jan menyifatkan dasar-dasar tersebut mendapat terlalu banyak campur tangan pemimpin negara.
Malah menurutnya, kenaikan harga yang melanda rakyat negara hari ini memang terpaksa dihadapi dan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi adalah tepat.
“Apa yang digariskan dalam model ekonomi baru adalah realiti yang terpaksa kita hadapi. Saya rasa ini satu-satunya jalan. Tak banyak jalan lain dah.
“Kesusahan yang kita hadapi sekarang disebabkan oleh dasar-dasar yang agak tidak tepat yang diperkenalkan oleh pemimpin kita sebelum ini, yang terlalu banyak mencampuri urusan ekonomi dan urusan pasaran,” katanya kepada Sinar Harian Online dalam satu temu bual eksklusif, hari ini.
Menurutnya, ekoran terlalu lama ‘memaksa’ harga pasaran barangan kekal pada tahap rendah, hari ini rakyat terpaksa menerima kesannya.
“Sudah sekian lama kita (kerajaan) mengganggu perjalanan sistem pasaran. Katalah harga yang sepatutnya naik perlahan-lahan secara sekata daripada 30 tahun lepas... kita pastikan harga turun pada satu tahap rendah sedangkan ia sepatutnya ada di tahap tinggi sedikit.
“Jadi, daripada 30 tahun lepas, kita biarkan harga itu naik perlahan-lahan, perubahan itu tidak terasa sangat. Tapi sekarang ini, harga paksa kekal di tahap rendah yang sepatutnya tahap tinggi, tiba-tiba naik mendadak. Itu yang membuat kita terasa.
Inilah realitinya. Inilah yang kita terpaksa hadapi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa kenaikan harga barangan memang tidak dapat dielakkan berlaku setiap tahun.
Meskipun menyokong pengurangan subsidi, namun beliau kecewa dengan keputusan kerajaan yang memilih untuk mengurangkan subsidi yang memberi kesan kepada rakyat biasa.
“Saya rasa adalah jauh lebih baik kita mengakui kita menghadapi masalah sekarang dan masalah ini disebabkan oleh pemberian subsidi yang berpanjangan.
“Tapi saya agak kecewa juga apabila kerajaan memilih untuk mengurangkan subsidi yang memberi kesan kepada rakyat biasa.
“Bagi saya, sepatutnya kerajaan mengurangkan terlebih dahulu subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat besar, penjana kuasa dan juga memastikan bahawa proses perbelanjaan kerajaan dilakukan dengan lebih telus dan kompetitif,” katanya.
Menyentuh soal penguatkuasaan kawalan harga yang dilancarkan kerajaan, beliau melihat kerajaan perlu memilih dengan jelas sama ada mahu membiarkan pasaran menentukan harga atau sebaliknya.
“Pada saya, penguatkuasaan ini melambangkan sedikit kecelaruan di peringkat kerajaan. Apa sebenarnya yang nak dilakukan oleh kerajaan?
“Kalau nak bagi pasaran, biar pasaran tentukan harga, jangan campur tangan lagi,” katanya yang kurang bersetuju dengan siri lawatan menteri-menteri untuk memeriksa harga barangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan