Harga ayam naik: Peniaga tak boleh elak  
Amirul


SHAH ALAM - Kenaikan harga ayam bermula minggu lalu tidak dapat dielak berikutan harga yang ditawar pembekal naik setiap tiga hari sekali.

Keadaan ini berlaku dikatakan  berpunca daripada penternak yang menaikkan harga.

Peniaga ayam, Shahrul Nizam Ismail, 31, berkata, pihaknya tidak dapat mengelak daripada menaikkan harga ayam kerana harga yang ditawar pembekal turut tinggi.

“Kalau minggu lepas, kita boleh lagi menjual dengan harga RM7.70 sekilogram, tapi bermula hari ini kita terpaksa naikkan RM8 sekilogram.

“Ini memang tak dapat dielakkan. Harga ayam tak menentu dan selalunya ia akan naik setiap tiga hari sekali,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tinjauan di Pasar Seksyen 6, turut mendapati peniaga ayam meletakkan harga sama untuk setiap kilogram ayam standard.

“Jangan salahkan kami jika harga naik. Kita sendiri mahu tampung gaji pekerja,  beli plastik dan harga minyak. Dengan harga sekarang ini pun, untung yang kami dapat sama saja RM1 seperti sebelum ini,” katanya.

Shahrul tidak menafikan dengan harga yang semakin tinggi, permintaan daripada pelanggan turut menurun.

Menurutnya, sebelum ini masuk saja tahun baharu, harga ayam akan turut sedikit seiring dengan sesi baharu persekolahan, tetapi berbeza tahun ini apabila harga barangan terus naik dan dijangka ti dak akan turun dalam masa terdekat.

Beliau berharap kerajaan membuat pemantauan ketat terhadap ladang ternakan ayam yang membekal ayam kepada pembekal kerana selama ini, hanya peniaga disalahkan.

Mengenai harga ikan, ia turut mengalami kenaikan dari 20 hingga 30 peratus mengikut jenis ikan sejak minggu lalu dan peniaga turut merungut dengan kenaikan ini hingga menjejaskan perniagaan mereka.

Peniaga ikan, Amirul Omar, 20 berkata, kenaikan harga ikan tidak dapat dielakkan disebabkan faktor cuaca dan musim tengkujuh yang melanda negara.

“Kebiasaannya, kami hanya akan mengambil stok ikan kepada nelayan tempatan kerana gred ikan yang baik berbanding nelayan asing," katanya.