riadah


KUALA LUMPUR - Meluangkan masa beriadah dan bersukan sekurang-kurangnya 30 minit tiga kali seminggu menjadi antara kaedah terbaik yang boleh diamalkan guru bagi mengurangkan tekanan kerja.
  
Aktiviti seumpama itu juga dapat memastikan mereka sentiasa kekal cergas, cerdas dan sihat, kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan.
  
Beliau berkata, melakukan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara berkala mampu membantu guru mengoptimumkan penjagaan kesihatan, apatah lagi mereka kini berdepan pelbagai cabaran dunia pendidikan yang menuntut mereka untuk terus bermotivasi dan meningkatkan produktiviti.
  
"Sekiranya guru 'cuai' menjaga kesihatan, ini menyebabkan mereka tidak bermaya, tidak bertenaga atau tidak sihat...Apabila kurang sihat mereka ambil cuti sakit dan ini menjurus kepada proses pembelajaran tergendala," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Menurutnya, apabila seorang guru memberi contoh penjagaan kesihatan yang baik, amalan mereka itu secara tidak langsung boleh dicontohi pelajar.
 
Berkongsi pandangan sama, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan yakin guru sememangnya memikirkan soal kesihatan, namun risau dan prihatin terhadap prestasi murid menyebabkan ada yang terlepas pandang kerana bertungkus-lumus menyiapkan segala tugasan.
  
Peka akan pentingnya penjagaan kesihatan dalam kalangan guru mendorong Koperasi Yayasan Guru Malaysia Bhd (KYGMB) menawarkan kad perubatan komprehensif dikenali sebagai MediSihat bagi memudahkan golongan itu mendapatkan rawatan.
  
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah KYGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, produk yang akan diperkenal dalam masa terdekat itu menawarkan polisi insurans perubatan bagi penghospitalan dan pembedahan sehingga RM450,000, selain perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM150,000.
  
Untuk tujuan itu, pihaknya baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Pathlab Health Management Sdn Bhd, sebuah makmal patalogi dan klinikal.
  
"Kesihatan adalah aspek penting yang harus diberi perhatian oleh guru, dan kami berharap dengan adanya kemudahan seperti ini mereka sentiasa menjaga kesihatan mereka selain mendapat perlindungan kos rawatan sewajarnya," katanya.
  
Keunikan kad MediSihat ini termasuk faedah menjalani pemeriksaan darah komprehensif di hampir 50 cawangan Pathlab.
  
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu berkata, pihak koperasi bersedia memberi pinjaman sehingga 10 tahun kepada ahlinya untuk membiayai premium insurans secara keseluruhan, manakala bayaran balik kepada koperasi dilaksanakan melalui potongan gaji.
  
Justeru, guru-guru digalakkan berdaftar sebagai anggota koperasi bagi memudahkan mereka menikmati keistimewaan kad itu, katanya. - Bernama