Ahad, 26 Januari 2014

Elak kenyataan ‘kurang bijak’, menteri wajib jalani latihan media

OLEH DIYANA IBRAHIM DAN YISWAREE PALANSAMY


Najib berharap langkah yang diambil mampu memperbaiki imej para menteri Kabinet di mata rakyat. – Gambar The Malaysian Insider. Najib berharap langkah yang diambil mampu memperbaiki imej para menteri Kabinet di mata rakyat. – Gambar The Malaysian Insider.  



Datuk Seri Najib Razak sudah mewajibkan latihan media kepada menteri Kabinetnya untuk mengelakkan kenyataan "kurang bijak" yang menyebabkan pentadbirannya menjadi bahan jenaka di kalangan rakyat Malaysia, kata satu sumber.

Imej perdana menteri penggal kedua itu tercalar disebabkan kenyataan kurang bijak beberapa menterinya sehingga menjadi bahan lawak yang menjatuhkan "air muka" Putrajaya, kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

"Perdana menteri mahu semua menteri menjalani latihan media untuk elak kenyataan-kenyataan kurang bijak terus dikeluarkan," kata satu sumber dengan syarat namanya dirahsiakan merujuk kepada arahan Najib kepada anggota Kabinet.

"Kita tak nak imej Putrajaya rosak kerana kenyataan-kenyataan seperti Ku Nan dan Hasan Malek," tambahnya.

Sumber itu merujuk kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dalam satu wawancara bersama akhbar milik Umno Utusan Malaysia yang mengatakan rakyat di negara ini seharusnya mensyukuri kerana mempunyai pemimpin ikhlas yang memberi keutamaan terhadap rakyatnya mengatasi kepentingan lain.

Manurut Hasan, biarpun keputusan kerajaan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dikritik hebat, rakyat perlu memahami ia dilakukan untuk kebaikan jangka masa panjang iaitu bagi mengukuhkan kedudukan fiskal kewangan negara.

Kenyataan itu hadir selepas Putrajaya memulakan langkah memotong subsidi dan menaikkan harga barang sehingga menyebabkan majoriti rakyat merasakan keperitannya.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut "diserang" akibat menyelar pemilik hartanah Kuala Lumpur yang membantah kenaikan harga cukai pintu.

“Anda mahu kami menilai hartanah anda sekitar 0.1% untuk 21 tahun?” Saya tidak kisah.
Terpulang,” kata Ahli Parlimen Putrajaya itu sambil menambah kenaikan cukai itu membantu pemilik hartanah yang mahu menjual atau menyewa aset mereka.

“Saya tidak tahu mengapa ramai yang suka memutar-belitkan isu ini berlebihan. Anda kena beritahu rakyat bahawa kenaikan ini bagus untuk mereka,” katanya.

Seorang menteri Kabinet mengesahkan terdapat arahan daripada Najib semasa mesyuarat lalu agar semua jemaah menteri menjalani kursus dan seminar tentang bagaimana untuk berhadapan dengan media.

Menurutnya, latihan, seminar dan kursus adalah perkara biasa yang dihadiri seseorang menteri dan bukan kerana kelemahan beliau atau rakan-rakannya.

"Kursus bagi pihak menteri sentiasa ada, semua mesti hadir berhubung KPI. Banyak perkara kita dikehendaki untuk hadir dari semasa ke semasa demi meningkatkan ilmu," kata seorang anggota Kabinet yang tidak mahu dinamakan ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat.

"Dalam mesyuarat hari itu kita bincangkan perkara yang hanya perlu diambil tindakan. Tapi tidak ada kertas khas untuk arahan tersebut," katanya merujuk kepada mesyuarat Kabinet minggu lalu.

Menteri Hasan Malek juga mengesahkan latihan media akan diadakan bagi anggota Kabinet tidak lama lagi.

"Tidak lama lagi, kena tingkatkan penyampaian media kami," katanya tanpa mahu mengulas lanjut.
Penyelarasan subsidi yang dijalankan Putrajaya selepas Pilihan Raya 2013 dibantah orang ramai termasuk pembangkang Pakatan Rakyat (PR).

Langkah Putrajaya merasionalisasikan subsidi dilihat pakar ekonomi sebagai tindakan bijak untuk mengekang defisit negara, namun pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan tarif elektrik dan tol termasuk pemansuhan subsidi gula dan kenaikan kos bahan api menerima respon negatif rakyat yang merasai peningkatan kos sara hidup.

Malah, kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) hujung tahun lalu mendapati, tanpa sebarang tindakan yang tepat, isu kenaikan kos harga barang, peningkatan kos bahan api  bakal menjadi penentu Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kenyataan Hasan agar rakyat Malaysia bersyukur dengan tindakan kerajaan menyelaraskan subsidi dikritik hebat pengguna laman sosial Facebook dan Twitter yang mengatakan kenyataan menteri itu menambahkan lagi "kepedihan" yang mereka tanggung akibat pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

"Rakyat, bersyukurlah, berjimatlah. Same old same old. Lebih baik diam jelah daripada buat statement genius camni," kata pengguna Facebook Jihani Azhar sebagai respon kepada kenyataan Hasan itu.

Sementara seorang lagi pengguna Facebook Wilman Shah pula berkata: "Melingkupkan negara dikatakan ikhlas?....Memang sah dia ni menteri cap ayam....".

Dalam sebuah video yang dimuatnaik bertarikh 12 Januari di laman sosial Youtube, Najib mempersoalkan mengapa kerajaan dipersalahkan tatkala harga barang naik tetapi ketika harga turun tidak pula dipuji.

"Bila harga barang naik, sawi naik, kangkung naik. Ada masa dia naik, ada masa dia turun.

"Hari ini saya baca dalam surat khabar ada yang dah turun. Kangkung dulu naik sekarang dah turun, bila dah turun kenapa tak puji kerajaan, masa naik dipersalahkan kerajaan. Ini tidak adil," kata Najib yang dipetik berkata dalam video tersebut.

Kenyataan Najib itu dicemuh ramai pihak sehinggakan kangkung menjadi perkataan disebut-sebut dan mendapat liputan media antarabangsa seperti British Broadcasting Corporation (BBC).

Dalam mempertahankan Najib, Tengku Adnan mengatakan pihak yang memainkan isu kangkung ini bodoh, tidak mengetahui maksud di sebaliknya dan menjauhi budaya ketimuran.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, apa yang dimaksudkan Najib adalah kangkung sejenis sayuran yang murah dan boleh ditanam di merata tempat.

"Saya sudah beritahu mereka ini bodoh. Main isu kangkung ini bodoh. Dia tidak tahu konotasi maksudnya kerana kangkung ini jenis sayuran yang murah dan boleh ditanam di merata-rata.

"Apa yang Najib persoalkan adalah mengapa (sayuran) ini pun boleh turun naik tetapi mereka ini bodoh tidak ikut (budaya) ketimuran. Ikut cara Barat memburuk-burukkan dan memfitnah," katanya minggu lepas di Kuala Lumpur

Tiada ulasan: