Sabtu, 18 Januari 2014

Dua wanita ditahan sembunyi dadah dalam seluar dalam di Singapura

THE MALAYSIAN INSIDER


Dua wanita, seorang rakyat Malaysia berusia 28 tahun dan seorang warga Singapura berumur 46 tahun, ditahan Biro Narkotik Pusat (CNB) kerana cuba menyeludup kira-kira 450g heroin dan 52g dadah 'Ice' di dalam seluar dalam mereka ke Singapura pada Rabu.

Menurut CNB, kira-kira jam 2.20 petang Rabu di zon ketibaan kereta di Pusat Pemeriksaan Woodlands, pegawai daripada Lembaga Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) menahan sebuah teksi dengan nombor pendaftaran Malaysia yang membawa empat penumpang dan merujuk mereka kepada CNB untuk pemeriksaan.

Seorang pegawai wanita CNB melakukan pemeriksaan ke atas seorang daripada penumpang wanita dan menemui sebungkus heroin disembunyikan di dalam seluar dalamnya.

Satu lagi bungkusan heroin dan bungkusan lebih kecil berisi 'Ice' turut ditemui disembunyikan di dalam seluar dalam seorang lagi penumpang warga Singapura, di dalam teksi sama.

Keseluruhannya, kira-kira 450g heroin dan 52g 'Ice' ditemui. Dadah yang dirampas itu mempunyai nilai pasaran kira-kira S$57,600.

Siasatan terhadap kedua-dua wanita itu masih dijalankan. - Bernama,

Tiada ulasan: