Khamis, 16 Januari 2014

CSL Nyatakan Rasa Tidak Gembira Lantikan Jawatan Dalam Parti Tidak Ikut Pelan Damai

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah menzahirkan perasaan tidak gembiranya kepada para wartawan pada Khamis kerana tujuh jawatan termasuk setiausaha agung parti itu dilantik tidak mengikut persetujuan pelan perdamaian antaranya dengan presiden sekarang, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Kata Dr Chua, selain jawatan setiausaha agung yang sepatutnya diberikan kepada penyokongnya, lain-lain jawatan yang tidak dilantik di kalangan pengikutnya ialah tiga jawatan lantikan ahli jawatankuasa pusat dan tiga pengerusi negeri.

Dr Chua menegaskan, ketujuh-tujuh jawatan yang disebutnya itu terkandung di dalam persetujuan bersama pelan perdamaian antaranya dengan Liow sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung MCA 21 Disember lalu.

Pelan perdamaian itu membuka laluan kepada Liow untuk bertanding jawatan presiden tanpa Dr Chua mempertahankan jawatannya selaku presiden.

Menurut Dr Chua lagi, dokumen perjanjian damai itu telah dipersetujui dan ditandatangani oleh Liow serta disaksikan oleh saksi-saksi yang berwibawa pada 28 November lalu.

Liow yang kemudiannya memenangi jawatan presiden telah mengumumkan pelantikan jawatan-jawatan penting dalam parti pada 2 Januari baru-baru ini yang antara lain menyaksikan pelantikan Datuk Seri Ong Ka Chuan, yang merupakan bukan penyokong Dr Chua, sebagai setiausaha agung.

Dr Chua kemudiannya menunjukkan salinan perjanjian damai tersebut kepada para wartawan yang menghadiri sidang akhbarnya itu.

Tegasnya, perjanjian damai itu dibuat demi kebaikan dan masa depan parti.

Ketika pemilihan parti berlangsung pada 21 Disember tahun lalu, sebelas calon dari pasukan Dr Chua menang manakala 10 lagi dari pasukan Liow turut menang kerusi jawatankuasa pusat.

Tiada ulasan: