Sabtu, 11 Januari 2014

Buka mulut luas-luas, nak tengok lidah didalamnya jenis apa


Oleh Aspan Alias


Sementara tahun 2014 ini masih baru kita perlu menyingkap kejadian-kejadian pada tahun lepas dan apa yang berbezanya diantara 2014 dengan tahun sebelumnya. Jika dihimpun dan dibariskan perkara dan isu yang perlu ditangani, ia tidak terkira dan dibariskan lagi. Isu yang timbul terlalu banyak dan kita sudah berkeyakinan yang segala isu terhadap kerajaan sekarang tidak akan selesai kerana dalam kemunculan tahun yang baru ini banyak lagi isu-isu baru yang timbul. 

Isu lama tidak selesai ditambah pula dengan isu baru yang lain yang datang tanpa sekatan itu. Dihari pertama tahun baru sahaja timbul isu Najib hilang dari tanahair sejak Christmas dan hanya timbul kembali pada 5hb tahun baru ini. Rupa-rupanya beliau suami isteri ke Sydney dan selepas itu ke AS untuk merayakan tahun baru di kedua-dua tempat itu.

Mereka menyambut dua tahun baru dan menyaksikan dua perayaan tahun baru di dua lokasi di dunia ini. Terlupa pula saya yang dunia ini bulat. Malam ini perayaan tahun baru di Australia dan malam besoknya adalah malam tahun baru di Barat AS kerana perbezaan waktu di antara kedua-dua lokasi itu.

Kalau Mohd Sabu ada jet tentu beliau boleh melihat juga matahari tahun baru naik di dua lokasi. Selepas Mat Sabu melihat matahari tahun baru naik di Penang, beliau boleh terbang dan melihat pula matahari tahun baru di AS. Tetapi Mat Sabu hanya ada kemudahan naik Firefly sahaja dan tidak memungkinkan beliau sempat melihat matahari tahun baru naik di dua lokasi di dunia ini.

Tidak ada satu pun janji-janji pilihanraya UMNO dan BN telah ditunaikan sejak memenangi pilihanraya yang lalu, malahan apa yang sebaliknya berlaku rakyat telah dihadapkan dengan masalah kepimpinan dan kerajaan itu sendiri. Rakyat tidak menyebabkan masalah-masalah itu. Kerajaan pimpinan hari ini yang bermasalah tetapi masih lagi duduk tercegat di Putrajaya itu semata-mata kerana memenangi sedikit lebih kerusi dalam PRU yang lalu.

BN bernasib baik kerana semasa pilihanraya itu, rakyat masih lagi teragak-agak dan kurang keyakinan terhadap Perdana Menteri pilihan semasa itu. Pembangkang telah memaparkan pimpinan yang tidak ‘viable’ politiknya dan tidak diasaskan kepada perjuangan rakyat yang sebenar. Dengan penonjolan pimpinan ‘alternative’ oleh pihak pembangkang yang menjadi persoalan rakyat ramai maka UMNO dan BN telah mendapat keuntungan dalam pilihanraya itu. Rakyat belum lagi berkeyakinan yang pimpinan ‘alternative’ anjuran pembangkang itu boleh memberikan kelainan kepada negara.

Hakikat tetap hakikat. Masalah negara kita bukan sahaja memilih siapa yang kita suka untuk mentadbir kita. Masalah negara ialah masalah kepimpinan yang mempunyai ‘magnanimity’. Memilih ketua pembangkang bukan pemilihan orang yang mempunyai ‘magnanimity’. Dalam kita hendak membetulkan negara yang sudah tidak dikenali lagi ini. Oleh kerana budaya politik negara kita ini ‘winner takes all and loser looses all’ tidak akan menjadikan negara kita ini aman seperti yang diimpikan rakyat.

Selagi kita tidak membuat pencarian terhadap kepimpinan seperti ini rakyat boleh memberikan kuasa kepada pembangkang, negara tetap tidak berubah budaya politiknya dan masalah akan tetap wujud seperti yang kita alami sekarang. Contohnya yang menggantikan itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah perkauman kerana isu ‘multiracialism’ itu hanya retorik politik yang sudah terlalu biasa kita dengar dan tidak sedikit pun dibuktikan oleh parti itu.

Rakyat jangan sekali-kali ditipu dan dimuslihatkan dengan isu keperbilangan kaum itu kerana ia hanyalah isu pilihanraya semata-mata yang tidak akan terbukti kebenarannya. Kita elakkan memilih pelakon-pelakon handalan untuk memilih kepimpinan negara semata-mata kerana kepimpinan sekarang begitu jahil dan tidak semenggah ini.

Dalam keadaan sekarang kedua-dua belah pihak telah terbukti berbohong semata-mata untuk mengambil hati dihari mengundi. Ramai percaya yang wujud sejumlah 40000 orang Bangladesh yang telah dibawa masuk untuk mengundi oleh Ketua Pembangkang, tetapi akhirnya beliau menafikan berkata demikian sedangkan kita telah mendengar sendiri tuduhan itu dibuat secara terbuka..

Kita sudah letih dan jemu ditipu dan dibohongi oleh pimpinan utama UMNO, takkan lah pula kita hendak memilh orang yang sama-sama berbohong dan tidak mengakui pula pembohongan secara terbuka pembangkang itu. ‘Once a liar he or she remains a liar, and forever’.

Kita mahukan kepimpinan yang mempunyai kredibiti peribadi yang boleh memperbaiki keadaan kita yang tidak mempunyai kepimpinan lagi ini. Kita mahukan pemimpin yang tidak mempunyai kecenderungan untuk memberikan perhatian kepada kehendak kaum keluarga mereka baik dari parti mana sekali pun.

Pemimpin yang mempunyai kecenderungan untuk mengutamakan kepentingan peribadi dan kaum keluarganya, mereka tidak akan membuat keputusan dengan baik dan sempurna. Keputusan pemimpin seperti ini tidak akan tepat dan betul kerana setiap keputusan itu mesti diselitkan kepentingan anak bini dan kaum keluarga mereka, atau setidak-tidaknya untuk kroni-kroni belaan mereka.

Itu sebabnya buat masa sekarang ini, dalam kita melakukan ‘soul searching’ ini elok pula kita memilih untuk memberikan kepercayaan kepada pemimpin yang tidak ada anak untuk diturunkan warisan kuasa samada dalam politik atau kerajaan.

Di antara pembangkang dan kerajaan sekarang, 'seorang memanjat tiang dan satu lagi memanjat bendul'. Susah hendak dicari perbezaannya. Najib dan Anwar jika ada kesempatan, berbarislah dan bukalah mulut seluas yang mungkin, sebab hendak tengok lidah di dalamnya itu lidah jenis apa....

Tiada ulasan: