Sabtu, 25 Januari 2014

Bot bawa 18 penumpang karam, seorang masih hilang

HARAKAHDAILY 


BINTANGOR: Dua bot panjang yang membawa 18 orang, yang sedang dalam perjalanan untuk satu upacara pengebumian, karam di Sungai Sian awal hari ini selepas dipukul ombak daripada sebuah kapal yang melalui kawasan itu.

Bagaimanapun, 17 daripada mereka dapat menyelamatkan diri atau diselamatkan oleh bot yang melalui kawasan itu manakala seorang lagi yang berumur 28 tahun masih hilang dalam kejadian 6.50 pagi itu.

Mangsa dikenali sebagai Kenny anak Bisa, seorang penyelia ladang kelapa sawit, dari Rh Usop di Sungai Sian.

Dia menaiki bot panjang kedua yang sedang dalam perjalanan untuk upacara pengebumian saudara mereka, seorang wanita tua, di tanah perkuburan Iban di Nanga Bangkit, Selidap.

Operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk rumah panjang masih dijalankan.

Insiden ini merupakan tragedi kedua membabitkan bot panjang di negeri ini.

Sabtu lepas, sebuah bot panjang dengan membawa 27 tetamu dari Kampung Tekajong di Daro, bahagian Mukah, yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di sebuah kampung berdekatan Kampung Saai, karam di Batang Lassa selepas dipukul ombak.

Dalam kejadian itu 16 orang terselamat, 10 disahkan mati dan seorang lelaki berumur 55 tahun masih hilang.

Operasi mencari dan menyelamat masih berjalan bagi mengesan mangsa. - Bernama

Tiada ulasan: