Rabu, 1 Januari 2014

Belum cadang bawa pulang pelajar Mesir









HARAKAHDAILY  


KUANTAN: Jabatan Pelajaran Malaysia di Mesir masih belum memohon kepada Kementerian Pelajaran untuk membawa pulang pelajar Malaysia berikutan insiden pertempuran antara pelajar Universiti Al-Azhar dan pasukan keselamatan Mesir, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Beliau berkata lebih 3,000 pelajar Malaysia di Mesir telah ditempatkan di universiti-universiti di Malaysia semasa berlakunya pergolakan sebelum ini di negara itu.
  
"Masih belum ada keputusan dibuat mengenai keperluan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan sekolah sumbangan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, di sini, hari ini.
  
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, menghadiri taklimat di Jabatan Pelajaran Pahang mengenai pasca banjir di negeri ini dan persediaan bagi memastikan kesemua 41 buah sekolah yang terjejas banjir baru-baru ini sedia untuk memulakan sesi persekolahan 2014 pada Khamis ini.
  
Pertempuran berlaku pada Ahad di seluruh kampus lelaki di Universiti Al-Azhar antara pasukan keselamatan Mesir dan pelajar yang menyokong bekas Presiden Mohammed Mursi.
  
Peperiksaan akhir semester akhir univesiti itu juga dilaporkan ditunda berikutan insiden berkenaan. - Bernama

Tiada ulasan: