Selasa, 21 Januari 2014

Bajet Kolej Felda akan dipotong?



HAZAYANI ZAKARIA 


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menerima maklumat dalaman Felda bahawa bajet untuk Kolej Felda akan dipotong bermula tahun ini.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, berdasarkan sumber dari dalam Felda, bajet untuk Kolej Felda hanya akan diberikan sebanyak RM5 juta daripada 16 hingga 17 juta yang diperuntukkan setiap tahun.

Kolej Felda terdapat di empat lokasi iaitu di Kelana Jaya di Selangor, Trolak di Perak,  Mempagar di Pahang dan Felda Raja Alias di Negeri Sembilan.

Kolej Felda ditubuhkan pada 1998 untuk menyediakan ruang pengajian dan mengatasi masalah keciciran dalam pendidikan kepada anak-anak Felda.

"Jika benar pemotongan bajet akan dibuat, bajet untuk empat Kolej Felda hanya tinggal RM5 juta.

"Dakwaan pemotongan bajet ini merupakan petunjuk ke arah penutupan Kolej Felda," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada pihak lembaga pengarah Felda yang akan bermesyuarat dalam masa terdekat berhubung perkara ini.

Tambah beliau juga, empat kolej Felda tidak dapat menampung jumlah anak peneroka di 11 Felda di seluruh negara.

"Kolej Felda sudah tidak dapat menampung peningkatan jumlah pelajar dari kalangan anak Felda.

"Kolej hanya ada empat sedangkan ada 11 Wilayah Felda. Maksudnya Felda kena tambah tujuh lagi kolej," katanya.

Menurut Mazlan juga, beliau juga menerima maklumat bahawa bantuan RM1,000 kepada anak Felda yang akan melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi tidak lagi diberikan.

"Apabila mereka pergi ke pejabat Felda untuk mengambil bantuan, kakitangan kata tiada lagi peruntukan.

"Kalau dulu, prosedur cukup mudah. Mereka isi borang dan terus dapat duit. Sekarang macam-macam alasan diberikan," katanya.

Katanya, perkara-perkara ini merupakan kesan daripada penyenaraian Felda di Felda Global Ventures (FGV).

"Sejauh mana koomitmen Felda terhadap peningkatan keupayaan pendidikan?

"Antara kertas cadangan yang dibentangkan apabila disenaraikan dalam FGV, pembangunan sosial akan dikorbankan. Inilah akibatnya sekarang," katanya.

Tiada ulasan: