Ahad, 26 Januari 2014

Antartika: Berapa belanja ‘eksplorasi saintifik’ MB Terengganu?

 

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Isu lawatan Menteri Besar Terengganu ke benua Antartika memasuki episod baru apabila Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), 24 Januari lalu menafikan ia menganjurkan lawatan Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika.
         
Setiausaha Kerja YDSM Mohd Azrul Ismail  dalam satu kenyataan kepada agensi berita Bernama menegaskan bahawa lawatan ke Antartika itu bukan anjuran YDSM malah tiada kaitan dengan program yayasan.
         
Menurut Mohd Azrul, yayasan itu hanya menjalankan kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat, selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemuliharaan alam sekitar negeri itu.
         
Sehubungan itu dakwaan kononnya YDSM bertanggung jawab menganjurkan lawatan itu hanyalah rekaan pihak-pihak tertentu menjadikan tujuan sebenar lawatan itu diragui umum.

Pada 15 Jan lalu, Pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan media mengumumkan pemergian Ahmad dan rombongannya ke Antartika selama 15 hari. Program itu didakwa dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif YDSM.
         
Menurut Pejabat MB Terengganu, lawatan itu bertujuan membuka laluan bagi membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH).

Pelbagai pihak termasuk PAS Terengganu mempersoalkan lawatan Ahmad Said ke benua Antartika di saat negeri itu baru sahaja pulih daripada bencana banjir dan sumber negeri sepatutnya disalurkan kepada program yang lebih bermanfaat bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.

Terengganu walaupun diakui kaya dengan hasil negeri terutamanya sumber minyak, namun taraf sosioekonomi rakyatnya tidak seimbang dengan kekayaan dimiliki negeri. Terengganu masih dikelompokkan dalam kategori negeri-negeri miskin dan memiliki jumlah penduduk miskin tegar yang tinggi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung.

Oleh kerana itulah, kecenderungan pemimpin negeri yang dilihat lebih teruja dengan projek-projek mewah dan berprestij seperti Piala Monsun, Masjid Kristal dan kini lawatan ke Antartika mengundang kritikan umum.

Bagaimanapun program lawatan mewah Mohd Said itu mendapat sokongan Pemuda Umno. Exco Pemuda Umno pusat Mohd Iskandar Jaafar menyifatkan kritikan pelbagai pihak terhadap lawatan Mohd Said itu berpunca daripada perasaan dengki dengan pencapaian kerajaan negeri.

“Eksplorasi saintifik” Menteri Besar  selama 15 hari ke Antartika, kata Iskandar bertujuan membuka laluan untuk membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama INACH.
  
Dengan bersemangat, Iskandar berkata tohmahan dan cakap-cakap sinis oleh pembangkang mengenai lawatan itu lebih merupakan satu usaha jahat yang menafikan keperluan kepada pengembangan ilmu saintifik pada masa hadapan.
  
Katanya misi ke Antartika sudah pastinya akan memberikan banyak maklumat dan pengalaman berguna yang bakal diperolehi melalui kajian-kajian yang  dilaksanakan.
  
"Saya menyokong penuh lawatan kerja Menteri Besar ke Antartika bersama rombongan negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan," katanya dalam satu kenyataan.

Namun setelah penafian dibuat YDSM, tidak diketahui sama ada Iskandar masih terus mahu menyokong “eksplorasi saintifik” yang dipenuhi pelbagai tanda tanya itu.
  
Minat pemimpin negara terhadap benua Antartika tercetus di era awal pentadbiran Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir pernah menimbulkan isu Antartika ketika berucap di sesi ke-37 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September 1982.

Pada sidang kemuncak Negara-Negara Berkecuali, Mac 1983, Malaysia telah berjaya mendapatkan pengesahan anggota persidangan untuk menggesa PBB membuat satu kajian menyeluruh mengenai Antartika dalam sesi ke-38 PBB.

Lanjutan daripada desakan itu satu ketetapan telah diambil dalam sesi ke-38 PBB supaya Setiausaha Agong membuat satu kajian yang menyeluruh mengenai isu Antartika termasuk 'Antartika Treaty System' dan pengagihan sumber-sumber asli yang terdapat di situ.

Pengurusan mengenai hal ehwal Antartika dibuat oleh negara yang menjadi ahli Antartika Treaty (Disember 1959).

Keanggotaan Malaysia dalam Triti Antartika bermula pada 31 Oktober 2011. Malah saintis dan penyelidik Malaysia telah menjalankan penyelidikan di benua tersebut sejak tahun 1999 sehingga 2010 dan 62 ekspedisi saintifik telah diadakan melibatkan 60 penyelidik.
Keanggotaan Malaysia dalam Triti Antartika membolehkan saintis negara terbabit secara langsung dalam semua penyelidikan yang dijalankan di benua Antartika. Artikel ke-2 Triti juga memberi kebebasan kepada anggota Triti untuk menjalankan kerja kajian dan penyelidikan di Antartika secara bebas.
Namun minat yang ditunjukkan Mohd Said terhadap kerja-kerja para saintis menimbulkan tanda tanya memandangkan negara sudah mempunyai institusi-institusi penyelidikan yang telahpun melaksanakan beberapa kajian di benua tersebut.
Penafian YDSM terhadap penglibatannya dalam ‘eksplorasi saintifik’ itu juga menimbulkan lebih banyak tanda tanya.
Menjadi kewajipan kepada Mohd Said untuk menjelaskan perkara sebenar tentang eksplorasi itu; objektif dan kepentingannya untuk rakyat Terengganu serta kos keseluruhan yang ditanggung kerajaan negeri.
Ingatan dua bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Daim Zainuddin agar pemimpin kerajaan berusaha mengekang pemborosan ketika rakyat diseru supaya berjimat cermat juga perlu diberi perhatian. 

Tiada ulasan: