Khamis, 23 Januari 2014

Anak Taib Mahmud miliki saham 85 syarikat antarabangsa termasuk di California

OLEH DIYANA IBRAHIM


Kes perceraian anak Taib Mahmud yang sedang berlangsung di Mahkamah Syariah mendedahkan jumlah aset yang dimiliki keluarga Ketua Menteri Sarawak. 



Kes perceraian anak Taib Mahmud yang sedang berlangsung di Mahkamah Syariah mendedahkan jumlah aset yang dimiliki keluarga Ketua Menteri Sarawak.Selain memiliki pegangan saham dalam 49 buah syarikat yang dianggarkan bernilai lebih daripada RM1 bilion, anak Ketua Menteri Sarawak juga dilaporkan memiliki sebanyak saham dalam 85 syarikat antarabangsa menurut akauntan Edward Heng.

Heng memberitahu kepada Hakim Syarie Muhamad Abdul, saham daripada 85 buah syarikat antarabangsa itu termasuklah hasil pembabitan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib sebagai pengarah urusan dalam syarikat Sakti International Corporation (SIC) yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat.

Heng juga berkata, saham itu kemungkinan juga tidak hanya terhad kepada negara Australia, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

"Hasil siasatan, kami telah menerima sebuah dokumen permohonan yang menunjukkan defendan sebagai pemegang saham," katanya kepada hakim di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

"Dokumen itu berdasarkan Akta Perbadanan California Seksyen 307 (b) di mana pihak defendan memegang 200 pegangan saham SIC," katanya.

Bagaimanapun kata Heng, laporan jumlah keseluruhan harta dan aset yang dimiliki bekas suami plaintif itu tidak termasuk dalam jumlah peratus saham syarikat antarabangsa.

Katanya, nilai aset yang tidak dipertimbangkan dalam laporan namun didedahkan mahkamah ialah tujuh buah kenderaan mewah berupa motosikal dan kereta milik defendan.

Antaranya adalah sebuah motosikal model Demar Spark dan bagi kereta pula ialah Buggati EB110, Lamborghini Gallardo Coupe dan Bentley Continental GT (A) .

Terdahulu Heng berkata, nilai saham bagi empat ladang minyak kelapa sawit di Sarawak milik Mahmud Abu Bekir dijangka bernilai RM636 juta dan RM1.05 bilion.

Heng berkata daripada empat syarikat ladang kelapa sawit tersebut tiga daripadanya tidak mempunyai penyata kewangan yang telah diaudit.

"Tiga syarikat yang tidak mempunyai penyata kewangan audit itu dikira mengikut keluasan ekar ladang iaitu hampir 13,000 hektar dimana nilainya antara RM296.85 dan RM 492.22 juta."

Mahmud Abu Bekir juga dikatakan memiliki 59% saham dalam syarikat keempat yang mempunyai penyata audit kewangan iaitu Titanium Management Sdn Bhd.

Heng yang menjadi saksi kepada perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian itu berkata, syarikat itu memiliki bangunan korporat Menara Titanium di Kuching dan 11,000 hektra tanah ladang kelapa sawit.

"Bagi aset syarikat tersebut jangkaan nilai yang dipegang oleh defendan antara RM339 juta dan RM563 juta," katanya.

Sementara itu, anak ketua menteri Sarawak itu menafikan pendedahan pegangan 85% saham syarikat antarabangsa yang dibuat oleh akauntan lantikan bekas isterinya, Shanazadalah.

Mahmud Abu Bekir juga turut menafikan bahawa beliau memiliki syarikat ladang kelapa sawit.

"Mana datangnya 85 buah syarikat itu? Ia tidak wujud. Adakah kamu tahu siapa yang mempunyai syarikat tersebut?" katanya ketika ditemui wartawan sejurus selepas perbicaraan ditangguhkan.

Tuntutan harta yang difailkan oleh Shanaz menjadi perhatian umum kerana mendedahkan hasil kekayaan keluarga Ketua Menteri Sarawak.

Hakim kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga 5 Februari depan

Tiada ulasan: