Oleh Sidiqin Omar
PETALING JAYA: Wanita Pakatan Rakyat menyasarkan ribuan anggota
mereka dari seluruh negara membanjiri Stadium Merdeka Sabtu ini dengan
membawa enam tuntutan supaya dilaksana kerajaan memerintah.
Naib Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata, tuntutan tersebut
adalah sebuah kerajaan yang bersih dari rasuah, gaji berpatutan kepada
golongan wanita dan kualiti hidup lebih baik.
“Wanita
Pakatan juga menentang keganasan terhadap wanita, pemansuhan Akta
Perhimpunan Aman 2012 dan pilihan raya bersih dan adil,” katanya pada
sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Menurut Haniza, kumpulan mereka akan berkumpul di Pasar Seni, Kuala
Lumpur jam 2 petang dengan warna tema ungu sebelum berarak ke Stadium
Merdeka.
“Wanita KEADILAN Selangor sahaja, kita sasarkan 5,000 ahli. Tidak termasuk negeri lain. Kita jangkakan ribuan akan turun.
“Kita seru kepada wanita-wanita lain, yang tidak berparti, dan bukan
ahli NGO untuk turut bersama. Sasaran kita ialah sejuta rakyat,”
katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menegaskan, HKR
112 adalah peluang terbaik golongan wanita membantah dasar ekonomi dan
sosial negara yang tidak berpihak kepada mereka.
“Saya menyeru golongan wanita muda, profesional dan kaum ibu untuk bersama bersolidariti dalam HKR 112,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan
Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Malaysia (Empower),
Maria Chin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan