Khamis, 24 Januari 2013

UMCEDEL: Integriti & Salahgunakuasa BN Akan Beri Kesan Buruk Dalam PRU

 
KELAB GREENBOC

Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) dalam pembentangan kajian mengenai pengundi menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 menekankan isu integriti dan salahguna kuasa melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) antara punca utama akan menjejaskan sokongan rakyat kepada mereka.

Menurut pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman hasil penemuan terkini daripada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013 mendapati masyarakat masih lagi peka dan mengambil tahu tentang skandal melibatkan pemimpin BN.

"Dalam kajian kami, isu-isu melibatkan pemimpin kerajaan seperti Deepak Jaikishan, NFC dan lain-lain yang melibatkan ketelusan pemerintah masih lagi menjadi perkara utama yang diperkatakan," kata Mohammad Redzuan semasa membentang kajian hari ini.

Beliau turut menegaskan pengundi memiliki pandangan yang berbeza terhadap BN dan PR, namun menekankan perkara pokok yang dilihat penting adalah daripada sudut pentadbiran.

"Bagi Pakatan, isunya adalah perbalahan. Manakala bagi BN pula isunya adalah integriti.

"Pengundi sebenarnya melihat daripada sudut pentadbiran," tambah beliau lagi.

Dalam tinjauan terbaru UMCEDEL yang melibatkan 1,409 orang responden mendapati sebanyak 78 peratus bersetuju bahawa isu integriti dan salahguna kuasa akan memberikan kesan kepada prestasi BN, manakala 11 peratus berkata tidak dan 11 peratus lagi tidak pasti.

Lebih menarik lagi, penemuan UMCEDEL tersebut mendapati majoriti 95 peratus masyarakat kaum Cina mengatakan isu integriti dan salahguna kuasa akan menyebabkan sokongan kepada kerajaan BN akan merosot, sekaligus memberikan petanda bahawa parti komponen MCA berdepan dengan kesukaran untuk mendapat semula kerusi mereka.

Selain itu juga, rata-rata masyarakat kaum Cina menyatakan kelemahan kerajaan mengurus ekonomi negara sehingga berlakunya peningkatan hutang, isu kilang nadir bumi Lynas dan kenaikkan harga barang juga faktor utama akan menjejaskan sokongan kepada BN.

Berbeza dengan BN, percanggahan pendapat dikalangan parti dalam PR dilihat pengundi sebagai akan menjejaskan sokongan mereka dalam pilihan raya nanti.

"Bagi Pakatan, perkara yang menjadi fokus utama akan menjejaskan sokongan adalah percanggahan pendapat, khususnya melibatkan isu seperti Hudud, kalimah 'Allah' baru-baru ini dan lain-lain," tambah Mohammad Redzuan.

Daripada kajian UMCEDEL, sebanyak 59 peratus berkata bersetuju percanggahan pendapat dalam kalangan parti PR (DAP, PAS dan PKR) akan menjejaskan sokongan, 20 peratus tidak setuju dan 21 peratus lagi tidak pasti.

Walaubagaimanapun, langkah kerajaan baru-baru ini dengan pelbagai program yang diumumkan dalam Bajet 2013 disambut positif responden yang ditemui oleh UMCEDEL dengan sebanyak 55 peratus bersetuju ia memberikan manfaat kepada rakyat, 22 peratus tidak dan 23 peratus tidak pasti.

Selain itu, kerajaan BN turut berdepan lebih banyak lagi tanggungjawab berat jika mahu memastikan kemenangan besar pada pilihan raya kali ini memandangkan kajian badan bebas tersebut mendapati majoriti pengundi memberikan maklum balas positif terhadap janji PR untuk menurunkan harga minyak, memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan menurunkan harga kereta.

Majoriti 50 peratus responden yang ditemui menyokong cadangan tersebut serta menyatakan ia mampu meningkatkan sokongan kepada PR.

Pertembungan antara BN dan PR dalam pilihan raya kali ini merupakan yang tersengit dalam sejarah negara, malahan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah berulang-kali tentang hasratnya mahu mendapatkan mandat besar berbandingan tahun 2008 bagi mendapat sebuah kerajaan yang kuat dan melancarkan perjalanan pentadbiran.

Walaupun pilihan raya dijangka akan diadakan selewat-lewatnya April ini, Najib masih lagi tidak memberikan isyarat jelas untuk membubarkan Parlimen mahupun mengumumkan secara rasmi senarai calon yang akan diletaknya pada pilihan raya umum ke-13 tahun ini.

Dalam pilihan raya 2008 lalu, BN memperolehi 4.08 juta undi berbanding dengan PR 3.79 juta undi - perbezaan sebanyak 290,000 undi - dan pembangkang berharap pengundi baru pada pilihan raya akan datang dapat membantu mereka menambahkan baki kepada parti komponen PR yang terdiri daripada DAP, PAS dan PKR. TMI

Tiada ulasan: