Selasa, 8 Januari 2013

TG Hj Salleh ketuai 50,000 penyokong PAS Kedah ke HKR

Izwan Halim,


ALOR SETAR: Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang akan berlangsung di Stadium Merdeka Kuala Lumpur 12 Jan ini bukan sahaja akan disertai ahli dan penyokong politik, malah juga golongan guru pondok.

Antaranya Mudir Pondok Ar Rahmaniah Sik Tuan Guru Salleh Musa yang juga bakal mengepalai 50,000 rakyat Kedah ke perhimpunan itu nanti.

Setiausaha PAS Kedah, Musoddak Ahmad berkata, seluruh ahli PAS Kedah yang akan ke himpunan itu menganggap Tuan Guru Salleh telah mengetuai kontinjen ini.

“Kita anggap Tuan Guru Salleh telah mengetuai seluruh kontinjen PAS Kedah dan kita ambil semangat kesediaan beliau turun untuk menggembleng 50,000 ahli kita turun ke sana,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Mobilisasi HKR di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.

Sebelum ini, tokoh ulama berusia 85 tahun itu telah membuktikan komitmennya dalam menuntut keadilan apabila turut serta dalam himpunan Bersih 3.0 tahun lalu.

Sementara itu Musoddak berkata, seluruh ahli PAS Kedah akan pergi secara konvoi berkenderaan mengikut PAS Kawasan masing-masing termasuk lebih 200 bas yang ditempah khas.

Tiada ulasan: