Jumaat, 18 Januari 2013

Teruskan program asalkan berpakaian sopan - Azizan

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Garis panduan persembahan hiburan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Kedah telah sedia ada sejak 2008 serta tiada pihak yang mempertikaikannya.

Namun, mengapa hampir kepada Pilihanraya Umum ke-13, ia menjadi ‘isu’.

Demikian penegasan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) bagi mengulas mengenai garis panduan persembahan hiburan yang dibangkitkan oleh MCA serta Gerakan Kedah, lapor portal rasmi kerajaan negeri semalam.

Berhubung penganjuran program ‘1 Malaysia Sambutan Tahun Baru Cina 2013’ yang dijadualkan pada 15 Februari depan di Star Walk, Alor Setar, kerajaan negeri membenarkan program tersebut diteruskan dan penganjur hendaklah memastikan bahawa setiap peserta yang terlibat dengan persembahan di pentas sama ada lelaki dan perempuan (kanak-kanak dan dewasa) mestilah berpakaian sopan atau tidak menjolok mata.

“Pokok utama garis panduan itu memastikan bahawa semua persembahan di Kedah adalah terkawal tak kiralah pada orang bukan Islam ataupun Islam untuk menghormati budaya dan adat setempat.

“Jadi kita dah beritahu mereka boleh terus persembahan, sama ada lelaki dan perempuan tetapi pastikan pakaian mereka itu tidak menjolok mata, itu saja, tak lebih dari tu,” jelas beliau bagi merungkai segala kekeliruan pelbagi pihak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Penanaman Pokok Peringkat Daerah Yan yang diadakan di Kampung Permatang Buluh, Yan.

Tambah beliau, pihak penganjur program tersebut boleh berjumpa Exco berkenaan bagi membincangkan masalah tersebut, bukannya mengadu kepada MCA yang hanya mahu jadikannya ‘isu’.

“Dulu dah ada yang buat dan bincang dengan Exco, ada yang bersetuju, ada yang batalkan konsert bimbang gagal mengikut garis panduan.

“Tapi mengapa yang ini mengadu pada MCA yang tak ada modal, jadi dia nak cari isu yang boleh tunjuk dia adalah ‘hero’ pada orang Cina,” jelas beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr Abd Isa Ismail, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah Yan, Zahari Ismail.

Tiada ulasan: