Ahad, 6 Januari 2013

Tanah di Bukit Raja Diambil Untuk Kepentingan Awam, Bukan Komersil


MB PC Songkok 01

BANGIN : Tanah 200 ekar yang diambil di Bukit Raja oleh Kerajaan Selangor adalah untuk kepentingan awam, iaitu untuk membina kem tentera, dan adalah tidak adil jika ia digunakan untuk tujuan komersial.

Oleh itu, Kerajaan Selangor tetap dengan berpendirian bahawa sebarang pembangunan komersial di tanah tersebut tidak akan diluluskan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Selangor mengambil tanah tersebut daripada pemilik estet untuk diberi kepada Kerajaan Persekutuan untuk kegunaan awam.

“Kerajaan Negeri membuat surat mengambil alihan tanah itu. Surat pengambilan tanah ini adalah untuk kegunaan awam. Dalam surat itu kita sebut tentang penggunaannya.

“Jadi apabila kita beli tanah daripada tuan tanah, ia dijual mengikut kegunaan awam.

“Tetapi apabila ia ingin digunakan bagi tujuan komersial, tanggungjawab Kerajaan Negeri adalah berbeza,” katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Rakyat dan Lawatan Tapak di Sekolah Rendah Agama (SRA) di Sungai Tangkas, di sini hari ini.

Tambah Abdul Khalid, Kerajaan Negeri tidak keberatan untuk mendengar sebarang cadangan daripada Kerajaan Persekutuan, namun menyarankan agar Kerajaan Persekutuan melaksanakan apa yang telah dirancang.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memutuskan agar tidak membenarkan sebarang pembangunan komersial di atas tanah tersebut yang diambil pada tahun 1980-an untuk pembinaan kem tentera 8 Briged.

Sebelum ini dilaporkan bahawa status dan kegunaan tanah seluas 200 ekar di kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang itu muncul di dalam skandal yang membabitkan syarikat Ketua Wanita Umno Selangor dan saudagar karpet Deepak Jaikishan.

Minggu lepas, akhbar Selangorkini melaporkan bahawa usaha sedang giat dilakukan untuk menjual tanah tersebut kepada Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad.

Boustead adalah unit pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menyimpan caruman dari potongan gaji anggota tentera.

Syarikat yang berusaha untuk menjual tanah tersebut adalah Awan Megah Sdn Bhd yang mana pengarahnya adalah Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.

Akan tetapi, Kerajaan PR Selangor mempertikaikan bagaimana tanah yang telah digazetkan untuk kem tentera boleh diurusniaga secara komersil melainkan dengan arahan dan campur tangan pihak yang benar-benar berkuasa.

Tiada ulasan: