Ahad, 13 Januari 2013

Suhakam puji sikap penganjur dan polis dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat


Himpunan semalam menyaksikan perjalanan perarakan hingga ke Stadium Merdeka lancar tanpa sebarang gangguan dan kekasaran daripada pihak berkuasa. – Gambar oleh Choo Choy May

 
KUALA LUMPUR – Kejayaan perhimpunan aman “Himpunan Kebangkitan Rakyat” semalam mendapat pujian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mengganggap keikhlasan dan sikap tolak ansur penganjur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai faktor tiada sebarang kekecohan dan gangguan berlaku.

Himpunan semalam, yang dihadiri lebih kurang 80,000 orang, menyaksikan perjalanan perarakan hingga ke Stadium Merdeka lancar tanpa sebarang gangguan dan kekasaran daripada pihak berkuasa.

“Kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya sifat keikhlasan dan tolak ansur di kalangan parti yang berkenaan,” kata pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata kejayaan semalam berjaya menolak segelintir pandangan negatif segelintir pihak terhadap perhimpunan yang sering dianjurkan di ibu kota negara.

“Ia membuktikan hak demokratik berhimpun secara aman boleh dilaksanakan dalam negara ini dan bukannya seperti mana yang diragui oleh skeptis,” tambah beliau.

Perhimpunan semalam merupaan yang paling aman, tiada sebarang tangkapan, ketegangan dan kecederaan berlaku keatas peserta dan pasukan polis seperti perhimpunan sebelum ini Bersih, Mansuh ISA dan lain-lain.

“Suhakam juga berbesar hati dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak polis dan penganjur perhimpunan dalam usaha mengawal keadaan perhimpunan dan persuraian peserta untuk mengelakkan sebarang kejadian dan penahanan yang tidak diingini,” kata Hasmy.

Himpunan semalam yang dianjurkan oleh kedua-dua pemimpin politik dari PR dan pelbagai kumpulan masyarakat sivil sebagai wadah akhir untuk mengangkat isu-isu sebelum pilihan raya umum ke-13 yang perlu diadakan tahun ini.

PRU ke 13 dijangkakan sebagai paling sengit dalam sejarah bagi BN kerana buat pertama kalinya perlu berhadapan dengan pembangkang yang paling tersusun.

Tiada ulasan: