Jumaat, 11 Januari 2013

Suhakam: Hormatilah hak berhimpun

KL TODAY

 

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengalu-alukan kesediaan pihak polis untuk memudahcarakan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan pada 12 Januari 2013 seperti yang umumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam (gambar) berkata, pihaknya turut menyambut baik dialog yang diadakan di antara pihak polis dan penganjur himpunan bagi memastikan hak untuk berhimpun dilaksanakan sepenuhya dalam perhimpunan yang akan dijalankan ini.

Katanya, Suhakam juga mengalu-alukan jaminan Ketua Polis Negara dalam memastikan personel polis memaparkan nama dan nombor badan semasa menjalankan operasi mereka sepertimana yang disyorkan oleh Suruhanjaya berdasarkan dapatan inkuri awam terdahulu berkenaan dakwaan penggunaan kekerasan melampau oleh pihak penguatkuasa.

“Walaupun Suruhanjaya mengambil maklum bahawa wakil media yang akan menghadiri perhimpunan tersebut akan diberi tag pengenalan khas yang dikeluarkan oleh pihak polis selain daripada tag rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan, ia berharap agar wakil media yang tidak memilik tag pengenalan khas polis turut mendapat perlindungan dan pengiktirafan yang sama semasa menjalankan tugas rasmi mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebagai institusi hak asasi manusia nasional yang sentiasa menangani isu berkenaan kebebasan berhimpun semenjak penubuhannya, Suhakam mengulangi seruannya kepada pihak penguatkuasa untuk menghormati dan memenuhi komitmen hak asasi manusia yang dijanjikan oleh kerajaan di peringkat nasional dan antarabangsa, dalam masa yang sama, mematuhi norma hak asasi manusia antarabangsa ke arah memperbaiki keadaan hak asasi manusia di negara ini.

Menurutnya, memandangkan hal ini boleh mempengaruhi imej polis dan negara, Suhakam berharap agar pihak polis akan menjalankan tugas mereka secara profesional dan mencontohi amalan terbaik pihak polis di negara lain seterusnya menambahbaik kelemahan daripada pengalaman terdahulu.

“Suruhanjaya yakin bahawa dengan adanya sikap positif yang ditunjukkan oleh pemimpin atasan polis, pihak polis boleh dan akan merealisasikan harapan masyarakat awam,” ujarnya.

Pada masa sama, kata beliau pihaknya juga menyeru agar pihak penganjur dan peserta mematuhi tanggungjawab masing-masing ke arah mempromosi satu perhimpunan yang aman.
Sementara itu, keputusan akhir tempat Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013 (#HKR112) akan diumumkan jam 11 hari ini.

Ahli jawatankuasanya, Tian Chua dalam Twitternya berkata, jawatankuasa penganjur akan bermesyuarat pagi ini bagi membuat keputusan akhir itu.

“Jawatankuasa penganjur akan mengadakan sidang media di Pejabat Agung PAS jam 11 hari ini bagi memaklumkan keputusan akhir kami,” kata Tian Chua.

Tengah malam tadi, jawatankuasa penganjur telah bermesyuarat di Pejabat Agung PAS ekoran cadangan polis agar perhimpunan di pindahkan ke Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sebelum itu, Polis Kuala Lumpur memaklumkan, perhimpunan itu dicadangkan agar dipindahkan ke Stadium Nasional kerana muatannya lebih sesuai.

Tiada ulasan: