Sabtu, 19 Januari 2013

SPR Muat Naik Borang Mohon Undi Pos Bulan Ini

MSTAR ONLINE
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan memuat naik borang permohonan untuk mengundi secara pos di laman web badan itu pada bulan ini, kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Meskipun ada desakan daripada pihak tertentu supaya kaedah itu dimansuh serta diganti dengan pengundian awal, beliau berkata undi pos tetap relevan dan diperlukan.

"Antaranya adalah untuk anggota polis dan tentera yang terpaksa bertugas di luar negara, di atas kapal atau menjaga sempadan serta tidak sempat untuk mengundi awal. Mereka ini layak memohon undi pos menggunakan borang 1A," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang, buat pertama kali, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, layak memohon untuk mengundi pos.

"Bagaimanapun, bilangan sebenar petugas media yang akan menggunakan kemudahan ini hanya akan diketahui selepas SPR menerima semula semua borang permohonan," katanya.

Berdasarkan laporan Bernama sebelum ini, dijangka kurang daripada 10,000 petugas media bakal menggunakan kemudahan itu.

Wan Ahmad berkata petugas media yang ingin mengundi secara pos perlu melengkapkan permohonan serta mendapat pengesahan majikan sebelum dihantar kepada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya yang berkenaan menerusi faks, pos atau menyerahkannya sendiri.

Beliau berkata tarikh akhir menghantar borang ialah pada hari ketiga selepas penamaan calon, petugas media yang layak (mengundi secara pos) akan menerima sampul keutamaan, antara lain mengandungi kertas undi untuk calon kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing.

"Sampul-Sampul keutamaan itu akan dihantar kepada pengundi melalui surat berdaftar dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad, dan juga boleh dikembalikan melalui pos tanpa setem," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad berkata turut layak mengundi secara pos adalah pengundi tidak hadir (PTH) iaitu penjawat awam yang berkhidmat di perwakilan luar negara serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangan masing-masing, rakyat Malaysia yang berdaftar serta bermastautin di luar negara dan petugas SPR.

Tiada ulasan: