Sabtu, 5 Januari 2013

Senarai telefon pintar dikeluar minggu depan

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Senarai telefon mudah alih pintar yang ditawarkan kepada belia bagi mendapatkan rebat RM200 menerusi Pakej Komunikasi Belia akan dikeluarkan pada minggu hadapan oleh tujuh syarikat telekomunikasi yang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Tujuh syarikat itu terdiri daripada Celcom, Maxis, Digi, U Mobile, Clixster, Tune Talk dan YTL Communications (YES).

Penasihat Strategik Jabatan Komunikasi Korporat SKMM Sheikh Raffie Abd Rahman berkata tujuh syarikat berkenaan perlu memaklumkan model telefon pintar itu kepada SKMM sebelum menawarkan kepada belia yang layak.

"Setelah SKMM mendapat senarai model telefon bimbit tersebut, SKMM akan menggabungkan senarai berkenaan untuk syarikat telekomunikasi keluarkan pada laman web masing-masing. SKMM akan pantau dari segi jenama yang sesuai, harga berpatutan dan tidak ada kes telefon tiruan.

"Model telefon pintar ini di setiap penjual yang dilantik mungkin berbeza antara satu sama lain. Tidak semua penjual mempunyai semua jenis telefon bimbit yang belia mahukan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini Jemaah Menteri telah bersetuju agar belia berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan RM3,000 ke bawah boleh membeli apa jua jenis telefon pintar dengan rebat RM200 yang diumumkan kerajaan.

Dalam pada itu Sheikh Raffie menasihati golongan belia supaya bersabar ketika membuat permohonan secara online di laman web skmm.gov.my untuk mendapatkan rebat RM200 itu.

"Oleh kerana terlalu ramai mengakses laman web kita pada satu-satu masa yang menyebabkan sistem menjadi perlahan. Kalau mengalami kesukaran jangan berputus asa dan jangan pula cuba klik banyak kali, masuk online semula dan buat permohonan," katanya.

Beliau berkata SKMM akan terus memperbaiki dan memantau sistem permohonan online itu dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kepuasan semua pihak.

Katanya setakat pukul 8 pagi tadi, seramai 22,000 pemohon telah mendapat kelulusan menerima rebat RM200 itu.- Bernama

Tiada ulasan: